Belanjawan 2021: Pejuang bantah keputusan had 80 ahli Parlimen di Dewan Rakyat

Astro Awani
November 5, 2020 21:21 MYT
Ahli-ahli Parlimen Pejuang menyifatkan alasan bagi keputusan berkenaan iaitu untuk membendung wabak COVID-19 tidak berasas.
KUALA LUMPUR: Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) membantah keputusan mengehadkan 80 ahli Parlimen dalam sidang Dewan Rakyat menjelang pembentangan Belanjawan 2021.
Bantahan itu dibuat ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad; ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir; ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah dan ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Shahruddin Md Salleh.
Dalam satu kenyataan bersama hari ini, mereka menyifatkan alasan bagi keputusan berkenaan iaitu untuk membendung wabak COVID-19 tidak berasas.
"Malahan, ini bukan kali pertama Dewan Rakyat bersidang sewaktu tempoh pandemik. Terdapat prosedur operasi standard (SOP) yang telah dilaksanakan di dalam dewan seperti pemasangan penghadang lutsinar dan aturan kerusi secara penjarakan sosial bagi sidang-sidang sebelum ini.
"Selain itu, persidangan secara digital juga boleh menjadi alternatif yang sesuai bagi memastikan persidangan dapat dijalankan dengan sempurna tanpa mengehadkan keterlibatan ahli-ahli Parlimen dalam perbahasan.
"Pada sama rakyat disuruh bekerja secara alternatif dan atas talian, namun kerajaan sendiri mengambil jalan mudah dan keterbelakang," kata mereka dalam kenyataan itu pada Khamis.
BACA: Sidang Dewan Rakyat dihadkan kepada 80 Ahli Parlimen mulai esok
Ia turut menyebut keputusan mengehadkan kehadiran ahli-ahli Dewan itu juga tidak dibincangkan bersama dengan wakil Pejuang.
"Ahli Parlimen adalah wakil sah yang dipilih oleh rakyat bagi menyuarakan dan memperjuangkan kepentingan rakyat dalam Parlimen.
"Keterlibatan penuh ahli Parlimen dalam sesi Belanjawan 2021 adalah cukup penting bagi memastikan Belanjawan Negara dapat diperhalusi mengikut keperluan rakyat tanpa ruang salah guna dan penyelewengan," kata mereka.
Tambah kenyataan itu, Parlimen adalah gedung perbahasan, maka wakil rakyat sepatutnya diberi cukup ruang untuk membawa suara rakyat yang diwakili mereka.
#ahli Parlimen #Pejuang #bantah #wakil rakyat #Parlimen #COVID-19 #Dewan Rakyat #mengehadkan #Belanjawan 2021 #Tun Dr Mahathir Mohamad #Mukhriz Mahathir #Amiruddin Hamzah
;