Belanjawan 2021: Najib bukan lawan PKR, kata AMK

Astro Awani
November 12, 2020 19:12 MYT
Syed Badli berkata, Najib sedang membawa isu berkaitan belanjawan yang pincang dan tidak sempurna. -Gambar fail/ Bernama
KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menyifatkan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak, sebagai bukan musuh parti itu ketika membahaskan Belanjawan 2021, baru-baru ini.
Naib Ketuanya, Syed Badli Shah Syed Osman berkata, Najib yang juga Pengerusi Kelab Ahli Penyokong Barisan Nasional (BNBBC) membawa isu berkaitan belanjawan yang pincang dan tidak sempurna.
"Najib mewakili rakyat di kawasannya. Beliau senada dengan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang turut mempertikaikan kepincangan dalam belanjawan.
"Pada saya, walaupun ahli Parlimen daripada PKR, jika gagal memahami kedudukan semasa politik hari ini, maka tetap gagal memahami sentimen rakyat.
"Kegagalan itu hanya akan menyusahkan rakyat," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Khamis.
Syed Badli sebelum ini menyuarakan ketidakpuasan hati dengan tindakan Ahli Parlimen Petaling Jaya, Maria Chin Abdullah daripada PKR, yang meninggalkan Dewan Rakyat ketika Najib membahaskan Belanjawan 2021.
Maria dilaporkan bertindak demikian kerana tidak berpuas hati dengan ucapan Najib yang dikatakan menggambarkan seolah-olah dirinya tidak pernah membuat apa-apa dosa.
Dalam pada itu jelas Syed Badli, tindakan Maria membuktikannya gagal memahami situasi politik semasa.
"Yang kita lawan hari ini bukan Najib. Kita lawan adalah kerajaan yang pincang. Tiada guna protes Najib yang sudah tidak mempunyai kuasa.
"Kes dia biar mahkamah tentukan. Kalah di Mahkamah Tinggi, kini ke Mahkamah Rayuan. Namun kes masih berjalan. Kalau akhirnya dia bersalah, biarlah dia dijatuhi hukuman," jelasnya.
Ujarnya, Maria perlu sentiasa sedar tanggungjawabnya sebagai ahli Parlimen harus difokuskan kepada kepentingan isu semasa dan bukan menyusahkan rakyat.
#Pemuda PKR #Syed Badli #Ahli Parlimen Pekan #Najib Razak #bukan lawan #bukan musuh #Belanjawan 2021
;