Belanjawan 2021 lulus bukti komitmen ahli Parlimen utamakan rakyat - Mohamad Alamin

Hasimi Muhamad
November 26, 2020 09:33 MYT
Mohamad berkata, keputusan tersebut melegakan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19 - Gambar Bernama
KUALA LUMPUR: Rang Undang-Undang Perbekalan 2021 (Belanjawan 2021) yang diluluskan di peringkat dasar pada persidangan Dewan Rakyat hari ini disifatkan bukti komitmen ahli-ahli Parlimen untuk mengutamakan rakyat, melebihi segalanya.
Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin berkata, keputusan tersebut melegakan rakyat yang terkesan akibat pandemik COVID-19.
"Alhamdulillah, hari ini Belanjawan 2021 telah mencatat sejarah (apabila) diluluskan tanpa belah bahagi. Ini menunjukkan bahawa komitmen kerajaan dan ahli Parlimen juga terserlah hari ini, di mana kita mementingkan rakyat dan kita mahukan belanjawan ini diluluskan tanpa belah bahagi.
"Rakyat memang sedang menanti beberapa perkara yang cukup besar terutama melibatkan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan moratorium," katanya kepada Astro AWANI ketika ditemui di Parlimen, di sini pada Khamis.
Sejak awal, beliau berkata Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) komited untuk memastikan Belanjawan 2021 diluluskan di Dewan Rakyat.
Ditanya sama ada undi tidak percaya akan diusulkan selepas Belanjawan 2021 diluluskan, Mohamad berkata, sokongan perlu diberikan kepada kerajaan PN di bawah pimpinan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
"Saya ingat tidak ada kena mengena dengan undi tidak percaya, yang penting kita telah berikan yang terbaik untuk rakyat dan saya bagi pihak seluruh rakyat, saya melihat ahli-ahli Parlimen cukup matang hari ini (kerana) menyokong bajet untuk rakyat.
"Maknanya, kerajaan ini (PN) kita sokong. Kita utamakan rakyat, kurangkan berpolitik, dan fokus kepada rakyat yang sedang susah hari ini," katanya lagi.
Beliau dalam pada itu menyambut baik keputusan kerajaan dan Kementerian Kewangan mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM50 juta kepada Sabah dalam usaha mengekang pandemik COVID-19.
Selain itu, beliau berharap agensi-agensi berkaitan di Sabah boleh menerima saranan Kementerian Kewangan untuk turut memperluaskan moratorium kepada para peminjam di negeri Bawah Bayu itu.
#Muhyiddin Yassin #Dewan Rakyat #Barisan Nasional #EPF #KWSP #Perdana Menteri #Kementerian Kewangan #COVID-19 #Ahli Parlimen Kimanis #Mohamad Alamin