Belanjawan 2021: Adakan sesi libat urus, jamin kehendak rakyat - Ketua Penerangan PKR

Harits Asyraf Hasnan
Oktober 28, 2020 15:13 MYT
Shamsul Iskandar berkata parti politik sering dipanggil bagi memberi input dan pemahaman berkenaan tindakan dan pelaksanaan yang akan dilakukan Kerajaan. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Kementerian Kewangan perlu mengadakan sesi libat urus bersama wakil-wakil parti dengan kadar segera sebelum Belanjawan 2021 dibentangkan pada 6 November depan.
Ketua Penerangan PKR, Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata sesi libat urus itu bakal menjadi cerminan kesungguhan Kerajaan dalam memastikan belanjawan tersebut memenuhi segala aspek yang diperlukan rakyat ketika ini.
Mengambil contoh pindaan atau penggubalan rang undang-undang sebelum ini, Shamsul Iskandar berkata parti politik sering dipanggil bagi memberi input dan pemahaman berkenaan tindakan dan pelaksanaan yang akan dilakukan Kerajaan.
"Urusan belanjawan ini tentulah urusan anggota-anggota Parlimen untuk kita bawa di Dewan Rakyat, untuk dibahas dan menyatakan pandangan serta pendirian kita.
"Walaupun Menteri Kewangan sebelum ini menyatakan ini merupakan belanjawan yang tidak sewajarnya dipolitikkan, tetapi di masa yang sama, kita mesti lihat sama ada belanjawan ini menguntungkan rakyat ataupun tidak.
"Di situ perlunya satu libat urus antara kedua-dua pihak kerajaan dan juga pembangkang," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.
Tambahnya, kesungguhan Kerajaan dalam memastikan Belanjawan 2021 diluluskan perlu diterjemah bagi mengelak seberang persepsi buruk terhadap Kerajaan.
"Pada saya, itu menjadi cerminan bahawa tidak ada kesungguhan kerajaan dalam memastikan belanjawan ini memenuhi segala aspek yang diperlukan rakyat ketika ini.
"Banyak kali kita lihat di dalam Dewan Rakyat, beberapa sesi libat urus berlaku terutama melibatkan hal yang melibatkan undang-undang yang penting.
"Sewajarnya, ia diteruskan. Kalau begitu, ia seolah-olah lihat Kerajaan cuba berpolitik dalam isu belanjawan ini dalam usaha untuk seolah-olah mengekalkan kelangsungan dan keabsahan pimpinan Muhyiddin ini.
Berbaki kurang 10 hari sebelum pembentangan Belanjawan 2021 dilakukan, Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz yakin ia tidak akan dipolitikkan dan akan mendapat sokongan jitu daripada semua Ahli Parlimen demi kemakmuran bersama negara.
#PKR #Kementerian Kewangan #Belanjawan 2021 #Yang di-Pertuan Agong #politik #Parlimen #undang-undang #Muhyiddin Yassin #Anwar Ibrahim
;