Beku akaun: Mahkamah benarkan Bersatu mula semakan kehakiman

Sinar Harian
Oktober 30, 2023 12:00 MYT
Pada 29 Mei lalu, pegawai awam Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya memfailkan permohonan itu, bagi mencabar tindakan SPRM yang membekukan akaun banknya untuk suatu siasatan. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berjaya dalam permohonan keduanya untuk mendapatkan kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman kedua, bagi mencabar keputusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang membekukan dua akaunnya.
Hakim, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid memutuskan demikian ketika prosiding diadakan secara dalam talian.
Beliau berkata, mahkamah juga akan mendengar merit permohonan berkenaan kelak.
Pada 29 Mei lalu, pegawai awam Bersatu, Kapten (B) Datuk Muhammad Suhaimi Yahya memfailkan permohonan itu, bagi mencabar tindakan SPRM yang membekukan akaun banknya untuk suatu siasatan.
Beliau menamakan Peguam Negara (ketika itu) Tan Sri Idrus Harun dan Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki masing-masing sebagai responden pertama dan kedua serta 20 individu lain sebagai responden ketiga hingga ke-22.
Bersatu mendakwa pada 19 April lepas, akaun bank CIMB dan AmBanknya disita tanpa sebarang perintah penyitaan dikeluarkan mengikut Seksyen 50(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Katanya, SPRM mengeluarkan kenyataan pada 20 April bahawa kedua-dua akaun itu disita pada 11 April tetapi tidak pernah memaklumkan kepada mereka mengenai tarikh tersebut.
Sebelum ini, pada Mac lalu, Bersatu memfailkan permohonan semakan kehakiman pertama, berhubung isu sama.
Berdasarkan permohonan itu, parti itu mendakwa keputusan membekukan akaun bank itu dilakukan dengan niat jahat selain suruhanjaya itu menyalahgunakan kuasa mereka dengan menjalankan pendakwaan politik terpilih terhadap kepimpinan Bersatu Perikatan Nasional (PN).
Pada 30 Mei lalu, Bersatu berjaya dalam permohonan itu selepas mahkamah memutuskan permohonan untuk mendapatkan kebenaran bagi semakan kehakiman bukan satu permohonan yang remeh dan menyusahkan. - Sinar Harian
#Bersatu #beku akaun #SPRM #keputusan mahkamah
;