Beku akaun: Jangan bermotif politik, cubaan lumpuhkan PN menjelang PRN - Muhyiddin

Fareez Azman
Februari 2, 2023 13:22 MYT
Muhyiddin memberi jaminan parti itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan. - Fail/Sinar Harian
KUALA LUMPUR: Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin percaya siasatan secara telus akan dijalankan terhadap parti itu dan bukan bermotif politik susulan pembekuan akaun oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Bagaimanapun jelas Muhyiddin, sekiranya bermotifkan politik, ia satu tindakan seolah-olah mensabotaj Perikatan Nasional (PN) menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) di enam negeri dalam masa terdekat.
"Bersatu juga perlukan dana kempen Pilihan Raya Negeri berlangsung di enam negeri, jangan pembekuan akaun Bersatu ini jadi motif sebenar nak melumpuhkan jentera Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) dalam PRN akan datang.
"Ada orang kata motif politik, jika langkah ini diambil tentu menghalang apa sahaja aktiviti kita dalam pilihan raya membantu rakan-rakan PN dan sebagainya," jelasnya.
Pada masa sama, Muhyiddin memberi jaminan parti itu akan memberi kerjasama sepenuhnya kepada SPRM untuk melengkapkan siasatan.
"Saya percaya SPRM akan jalankan siasatan telus, saya beri jaminan Bersatu akan beri kerjasama penuhnya untuk SPRM melengkapkan siasatan," katanya lagi.
Beku akaun Bersatu: Bersatu hantar surat kepada SPRM untuk batalkan
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas Program Pemukiman Ahli Dewan Rakyat Perikatan Nasional di sebuah hotel di ibu negara pada Khamis.
Semalam, Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki mengesahkan membekukan dua akaun Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu).
Menurutnya, pembekuan akaun itu bagi membolehkan pihaknya menjalankan siasatan berhubung salah laku yang didakwa dilakukan pemimpin parti tersebut, dipercayai melibatkan lebih RM300 juta.
#Muhyiddin Yassin #pembekuan akaun #Bersatu #siasatan sprm
;