Bekas setiausaha politik, Datuk operator tawar sogokan kepada MP pembangkang - Wan Fayhsal
Ridauddin Daud
November 14, 2023 15:03 MYT
November 14, 2023 15:03 MYT
KUALA LUMPUR: Bekas setiausaha politik dan seorang lelaki bergelar Datuk didakwa menjadi operator yang menyogok dan mengugut Ahli Parlimen pembangkang untuk menyokong Perdana Menteri.
Pendedahan itu dilakukan Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal dalam sidang media di bangunan Parlimen pada Selasa.
Tegasnya, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) seharusnya tahu dan mengambil tindakan kerana dakwanya, empat Ahli Parlimen Perikatan Nasional (PN) diugut dan ditekan jika tidak menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua Armada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) itu turut menuntut polis menyiasat dan mengambil tindakan terhadap empat ahli Parlimen pembangkang terbabit, Perdana Menteri dan pegawai-pegawainya serta SPRM yang bersubahat dalam kesalahan tersebut.
“Tidak pelik dengan apa yang berlaku pada hari ini, tekanan yang diberikan kepada Ahli-ahli Parlimen kami termasuk saya dan beberapa rakan untuk menyokong kerajaan pada hari ini termasuk Perdana Menteri.
“Ini bukan laporan palsu, kita tunggu siasatan polis dan laporan susulan kepada SPRM akan dibuat berkaitan kes ini. Kami tiada apa untuk disorokkan, ini bukan fitnah.
“Rakyat Malaysia perlu tahu ada konspirasi untuk mengambil Ahli-ahli Parlimen Bersatu dan PN untuk mengukuhkan kedudukan Perdana Menteri ketika ini,” katanya.
Beliau turut mendakwa kenyataan media menyatakan sokongan terhadap Perdana Menteri juga sudah disiapkan kepada beberapa Ahli Parlimen PN lain termasuk dari Sabak Bernam dan Hulu Terengganu.
Dakwanya, ia membuktikan usaha memujuk Ahli Parlimen pembangkang itu dilakukan secara profesional.
Beliau juga mendakwa, ia dilakukan seorang ejen yang berkeliaran di Parlimen selama ini menerusi bukti rakaman video yang dimiliki pihaknya.