Bekas senator, Mohamad Ezam Nor umum keluar UMNO
Astro Awani
Oktober 2, 2016 21:29 MYT
Oktober 2, 2016 21:29 MYT
Bekas senator, Datuk Mohamad Ezam Mohd Nor hari ini membuat keputusan untuk tidak lagi bersama parti UMNO.
Menurut Mohamad Ezam dalam satu kenyataan yang dimuat naik di laman Facebook dan Twitter peribadinya pada Ahad, keputusan itu dibuat untuk mempertahan dan berjuang demi melakukan perubahan (islah).
Pada April lalu, Mohamad Ezam telah menafikan akan menyertai semula politik selepas namanya dikaitkan semula untuk kembali menyertai PKR dalam masa terdekat ini.
Ezam sebelum ini melepaskan jawatan sebagai Ahli Dewan Negara yang disandangnya sejak 2010 apabila dilantik sebagai Pengarah Komunikasi di Kementerian Kewangan berkuat kuasa 15 Mac 2014.
Bagaimanapun pada 1 April lalu, Ezam tidak lagi berkhidmat dengan Kementerian Kewangan, walaupun kontraknya masih berbaki sehingga tahun depan (2017).
Mohamad Ezam sebelum ini meninggalkan PKR pada tahun 2007 kerana hilang keyakinan terhadap bekas ketuanya, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menyertai semula UMNO pada tahun 2008.
Difahamkan ketika itu, kemasukan Mohamad Ezam ke PKR bagi membantu mengukuhkan politik Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai presiden parti.