Bekas pemimpin kutuk kerajaan ibarat orang 'gila talak' - Ahmad Zahid

Astro Awani
Februari 20, 2016 14:22 MYT
AHMAD ZAHID: Kepimpinan sekarang bukan sahaja lebih prihatin mendengar segala keperluan rakyat, tetapi turut melipatgandakan usaha memakmurkan lagi kesejahteraan masyarakat. - Gambar fail
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengibaratkan sesetengah bekas pemimpin yang mengutuk kerajaan sebagai orang 'gila talak'.
Beliau membidas sesetengah bekas pemimpin kerajaan yang menuduh kerajaan sebagai 'flip-flop' atau tidak tetap dengan pendirian apabila membuat sesuatu perubahan dasar terutama selepas mendengar respon rakyat.
"Orang ini adalah orang 'gila talak', apabila ada jawatan tidak mahu buat, bila hilang jawatan dan nakkan jawatan, barulah kata kerajaan tidak betul.
"Padahal semasa mereka ada jawatan dulu, ia adalah disebabkan oleh sokongan pegawai-pegawai dan kakitangan akar umbi," kata Ahmad Zahid semasa berucap di majlis penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Kementerian Dalam Negeri di sini hari ini.
Tambahnya, bekas-bekas pemimpin itu juga semasa berada di tampuk kuasa turut sensitif terhadap desakan masyarakat dan bertindak membuat pembaharuan bagi memenuhinya.
Namun jelas beliau lagi, apabila kerajaan sekarang melakukan perkara yang sama, mereka sebaliknya tuduh kerajaan sebagai tidak tetap pendirian.
"Tokoh itu ingat dialah yang terpandai, dia yang terbaik, terbagus, sampai begitu.
"Zaman dia sudah berlalu, tolong hormat kepimpinan dan pegawai-pegawai yang ada sekarang," ujar beliau tanpa menyebut secara spesifik nama bekas-bekas pemimpin itu.
Pada masa yang sama, Ahmad Zahid yang juga Menteri Dalam Negeri menyifatkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sering dihujani 'peluru-peluru' kritikan berikutan dasar keterbukaan kerajaan.
Katanya, kepimpinan sekarang bukan sahaja lebih prihatin mendengar segala keperluan rakyat, tetapi turut melipatgandakan usaha memakmurkan lagi kesejahteraan masyarakat.
Justeru, pihak-pihak tertentu diminta bersikap adil dalam dasar keterbukaan kerajaan yang sentiasa berpaksikan rakyat.
#Ahmad Zahid Hamidi #Kementerian Dalam Negeri #Najib Razak #pemimpin
;