Bekas pemimpin jangan jadi kitab lama - Ahmad Zahid

Bernama
Mei 29, 2016 09:26 MYT
Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bersalaman dengan hadirin semasa hadir pada Malam Sumbangsih Umno Paya Besar 2016 sempena Ulangtahun Umno Ke-70, di sini malam tadi. - FotoBERNAMA
Naib Presiden UMNO Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas pemimpin negara dan parti agar tidak menjadi seperti 'kitab lama' yang tidak dihormati generasi sekarang.
Tanpa menyebut mana-mana individu, beliau berkata seorang pemimpin seharusnya menjadi 'kitab' yang terus mendapat penghormatan dan menjadi rujukan generasi walaupun tidak lagi memegang jawatan penting.
"Cukup-cukuplah bila zaman kita telah berlalu. Kalau kita sudah jadi sebuah kitab yang tidak boleh dibaca, generasi kita tidak akan mengoyakkannya...kita akan letak di atas, jika berhabuk pun akan dicuci.
"Tetapi kitab lama kena duduk diam-diam. Jangan jadi kitab di lantai yang mengotorkan...Tetapi saya tidak merujuk sesiapa, sekadar mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan," katanya semasa berucap merasmikan Malam Sumbangsih UMNO Paya Besar 2016 di sini, malam tadi.
Majlis yang diadakan bagi menghargai sumbangan anggota UMNO bahagian itu turut dihadiri Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Timbalan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri Ismail Abdul Muttalib, Ketua UMNO Paya Besar Datuk Abdul Manan Ismail dan 3,600 anggota parti.
Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri juga menggesa pemimpin tersebut supaya menghargai semua pemimpin baharu yang telah diberikan kepercayaan, amanah dan mendapat sokongan padu daripada peringkat akar umbi.
"Apabila zaman kita berlalu jangan ingat bahawa kependirian, kedudukan dan keberadaan kita selama ini disebabkan oleh kebijaksanaan dan kekuatan kita semata-mata atau sumbangan yang kita lakukan.
"Ingatlah ketika pemimpin dan organisasi itu diuji. Bagaimana semasa organisasi terbahagi dua dan terpaksa didaftarkan semula. Itu semua sejarah.
"Generasi kita perlu perkukuhkan semula parti kerana apabila kita kuat baharu institusi kepimpinan akan kuat," katanya.
Dalam masa yang sama, Ahmad Zahid turut mengingatkan pemimpin masa kini supaya tidak takut berhadapan dengan ujian fitnah kerana sesuatu perkara yang tidak benar akan berbalik kepada individu yang menyebar fitnah itu.
"Itu terbukti terjadi kepada pemimpin yang tidak lagi bersama dengan kita hari ini. Semasa zamannya, kita diminta supaya jangan lupa untuk sokong pimpinan yang ada kerana parti adalah hak bersama dan bukan hak peribadi.
"Kita diberikan pelbagai nasihat semasa penggulungan, namun disebabkan kelupaan atau faktor biologikal, kita lihat ia berbalik kepada mereka yang berkenaan. Sekali lagi saya tidak merujuk kepada sesiapa.
"Sebab itu kita jangan mudah mengata itu ini kerana zaman kita akan berlalu.
"Jika kita aibkan seseorang, tunggulah ada orang aibkan kita. Jika ada orang nak aibkan kita, terlalu banyak sampah-sampah di bawah permaidani yang boleh dikutip tanpa menggunakan vacuum cleaner pun," katanya.
Ahmad Zahid berkata pemimpin masa kini juga perlu mengamalkan pendirian 'win-win situation', mempunyai pertimbangan dan berlaku adil kepada semua tidak kira peringkat dan bukan hanya membuat pertimbangan berdasarkan kepentingan sendiri atau keluarga.
#Ahmad Zahid Hamidi mengingatkan bekas pemimpin negara dan parti agar tidak menjadi seperti 'kitab lama' yang tidak dihormati generasi sekarang #Malam Sumbangsih UMNO Paya Besar 2016
;