Bekas naib presiden PKR, N Gobalakrishnan kembali sertai MIC

Bernama
Mei 8, 2017 17:32 MYT
Bekas Naib Presiden PKR merangkap bekas Anggota Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, hari ini kembali menyertai MIC.
Selepas 18 tahun meninggalkan MIC, bekas Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) merangkap bekas Anggota Parlimen Padang Serai, N Gobalakrishnan, hari ini kembali menyertai parti itu.
Pengumuman penyertaan Gobalakrishnan bersama MIC dibuat Presiden MIC Datuk Seri Dr S Subramaniam, sewaktu berucap pada Majlis Pecah Tanah dan Meletakkan Batu Asas Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Taman Keladi, di sini, hari ini.
Subramaniam berkata, hasrat Gobalakrishnan menyertai semula MIC disuarakan dalam satu pertemuan beberapa minggu lalu, dan hari ini secara rasminya beliau kembali bersama MIC.
"Beliau (Gobalakrishnan) memaklumkan kepada saya beberapa minggu lalu dan minggu lepas dia hantar surat kepada saya, hari ini saya beri kelulusan kepada beliau menjadi anggota MIC.
"Beliau tidak meminta apa-apa jawatan sebaliknya hanya mahu menyumbang kepada masyarakat bersama MIC," katanya pada sidang media, di sini, hari ini.
Subramaniam berkata, beliau mengalu-alukan sesiapa juga yang berhasrat menyertai MIC dan bersama-sama bekerja bagi mengukuhkan lagi parti.
Sementara itu, Gobalakrishnan berkata, beliau menceburi politik sejak 1987 dan aktif dengan Pergerakan Pemuda MIC, sehinggalah keluar parti dan menyertai PKR pada 1999 akibat hilang keyakinan terhadap kepimpinan Barisan Nasional (BN) ketika itu.
"Ketika itu saya terikut-ikut dengan perjuangan yang dibawa (Datuk Seri) Anwar Ibrahim dengan andaian bahawa selepas 12 tahun bersama MIC, saya boleh membawa sesuatu yang lebih baik untuk masyarakat India melalui perjuangan Anwar.
"Saya pegang banyak jawatan dalam PKR sehinggalah pada 2011, saya keluar PKR selepas menyedari perjuangan itu hanya untuk menjadikan Anwar sebagai Perdana Menteri, bukan membantu negara dan masyarakat India," katanya.
Beliau berkata, melihat negara di bawah kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak ketika ini, bagaimanapun mengubah persepsinya selepas banyak perubahan yang dibawa bagi membangunkan taraf hidup masyarakat India di negara ini.
"Saya gembira selepas enam tahun tidak menyertai mana-mana parti politik, saya diberi peluang untuk kembali menyertai MIC. Saya tidak berminat dengan jawatan, sebaliknya hanya mahu aktif berkhidmat untuk masyarakat," katanya.
-- BERNAMA
#MIC #N Gobalakrishnan #Padang Serai #PKR
;