Bekas menteri persekutuan pernah minta dilantik jadi ketua menteri - PM Najib
Bernama
Mac 3, 2017 13:45 MYT
Mac 3, 2017 13:45 MYT
Perdana Menteri hari ini mendedahkan seorang bekas menteri persekutuan yang kini presiden parti pembangkang, pernah menemuinya dan meminta supaya dilantik menjadi Ketua Menteri Sabah.
Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan permintaan itu sebagai cita-cita peribadi bekas menteri persekutuan itu.
"Bagi saya, cita-cita peribadi tidak boleh mengatasi perjuangan untuk rakyat," katanya ketika berucap pada majlis perasmian Program Perumahan Rakyat Taman Batu Sapi di sini, hari ini.
Najib berkata mana boleh sebuah parti politik ditubuh atas cita-cita peribadi, dan menurut beliau, parti seperti itu tidak akan bertahan lama.
Walaupun tidak menamakan pemimpin terbabit, Najib jelas merujuk kepada bekas Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, yang juga Anggota Parlimen Semporna dan Presiden Parti Warisan Sabah.
Perdana Menteri menjelaskan penubuhan sesebuah parti politik dibuat atas perjuangan murni, suci serta penuh idealisme, misalnya penubuhan UMNO dan Barisan Nasional (BN).