Bekas anggota TLDM calon PN bagi PRK Nenggiri

Bernama
Julai 29, 2024 14:03 MYT
Mohd Rizwadi Ismail, 41, diumumkan sebagai Calon bagi Perikatan Nasional (PN) pada Majlis Pengumuman Calon bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) N.43 Nenggiri di Masjid Hijau hari ini. - Foto BERNAMA
GUA MUSANG: Bekas anggota Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Mohd Rizwadi Ismail dinamakan sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri bulan depan.
Ketua Penerangan Pas Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud berkata Mohd Rizwadi, 41, yang merupakan ahli Bersatu dipilih berdasarkan bilangan pengundi di Nenggiri yang majoritinya adalah belia.
"Mohd Rizwadi merupakan bekas Timbalan Ketua Pemuda PAS Gua Musang akan bertanding menggunakan logo PAS," katanya ketika berucap pada majlis pengumuman calon PN bagi PRK berkenaan di Masjid Hijau, Renok, di sini hari ini.
Pada 19 Jun lepas, Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah mengumumkan Kerusi DUN Nenggiri kosong selepas Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian Bersatu pada 13 Jun lepas.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan penamaan calon dan pengundian awal PRK berkenaan masing-masing pada 3 Ogos dan 13 Ogos manakala hari pengundian pada 17 Ogos.
-- BERNAMA
#bekas anggota TLDM #PRK Nenggiri #calon PN #Mohd Rizwadi Ismail