Batu Sapi: Hak rakyat pilih pemimpin perlu dilaksana selepas darurat - Warisan

Hasimi Muhamad
November 18, 2020 07:19 MYT
MOHD SHAFIE: Warisan berharap hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik sahaja jangkitan COVID-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat. -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Warisan Sabah (Warisan) berharap kerajaan dapat mencari jalan terbaik untuk memastikan satu tarikh tertentu dapat ditetapkan bagi menentukan tempoh darurat berakhir di kawasan Parlimen Batu Sapi.
Presidennya, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata parti berpendapat setiap rakyat di Batu Sapi perlu mempunyai pemimpin yang mewakili mereka dan membawa isu-isu rakyat di Parlimen.
"Warisan berharap hak rakyat Batu Sapi untuk memilih wakil rakyat ditunaikan sebaik sahaja jangkitan COVID-19 dapat dikawal dan selepas kerajaan menarik balik pelaksanaan darurat.
"Selain itu, Warisan turut berharap agar dalam tempoh darurat ini, kerajaan memberi jaminan agar kebajikan setiap rakyat di Batu Sapi terutama bantuan makanan dan keperluan harian sentiasa diutamakan tanpa ada pilih kasih," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.
Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Semporna itu berkata Warisan menjunjung kasih titah Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong memberi perkenan agar darurat dilaksanakan di kawasan Parlimen Batu Sapi.
Jelas beliau, Warisan percaya titah yang dikeluarkan Seri Paduka Baginda adalah atas keprihatinan baginda terhadap kesihatan rakyat Sabah khususnya di Batu Sapi yang kini merupakan salah satu kawasan merah akibat jangkitan pandemik COVID-19.
"Baginda telah menggunakan kebijaksanaan dalam pengisytiharan darurat itu yang sekali gus menangguhkan pelaksanaan Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Batu Sapi yang dijadualkan pada 5 Disember.
"Dalam melaksanakan proses demokrasi, kesihatan rakyat tidak boleh dijadikan pertaruhan sebaliknya perlu menjadi keutamaan dalam situasi negara ketika ini yang masih berjuang menentang penularan COVID-19," ujar beliau.
BACA: Agong isytihar darurat di Parlimen Batu Sapi, Sabah - Istana Negara
Pada Rabu, Yang di-Pertuan Agong bersetuju, mengisytiharkan Proklamasi Darurat terhadap Parlimen Batu Sapi, Sabah bagi mengelak PRK sebagai langkah proaktif membendung gejala wabak COVID-19.
Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin berkata Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berpuas hati dengan penjelasan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menasihati baginda berkenaan cadangan itu.
Sementara itu, Perdana Menteri memberi jaminan kehidupan rakyat akan berjalan seperti biasa walaupun darurat diisytiharkan di Batu Sapi, Sabah.
#pilihan raya kecil #Muhyiddin Yassin #Mohd Shafie Apdal #Semporna #Perdana Menteri #COVID-19 #Darurat Batu Sapi #PRK Batu Sapi #PRK
;