'Batal hasrat pilihan raya awal tanda DAP takut kepada PKR' - Gerakan P. Pinang

Bernama
Julai 31, 2016 23:54 MYT
Oh Tong Keong berkata DAP masih perlu mengikut kehendak PKR kerana mereka tidak memiliki keberanian.
Keputusan kerajaan negeri Pulau Pinang pimpinan DAP untuk tidak meneruskan cadangannya mengadakan pilihan raya awal menunjukkan mereka takut kepada PKR.
Naib Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Oh Tong Keong berkata walaupun DAP mempunyai 19 kerusi di Dewan Undangan Negeri berbanding 10 yang dikuasai PKR, parti itu masih perlu mengikut kehendak PKR kerana mereka tidak memiliki keberanian.
"DAP takut kepada PKR, walaupun mereka mempunyai kelebihan dari segi jumlah kerusi," katanya ketika dihubungi di sini pada Ahad.
Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng pada Ahad berkata DAP tidak akan meneruskan cadangannya untuk membubarkan Dewan Undangan Negeri Pulau Pinang bagi mengadakan pilihan raya awal.
Menurut Lim, keputusan itu diambil kerana cadangan DAP tidak mendapat sokongan rakannya dalam Pakatan, PKR, yang menghadapi risiko kehilangan lebih banyak kerusi berbanding DAP.
Sebelum ini, Gerakan mengumumkan mereka akan bertanding bagi 13 kerusi sekiranya pilihan raya negeri mengejut diadakan dan yakin akan mencatat prestasi lebih baik berbanding pada pilihan raya sebelum ini.
Idea mengadakan pilihan raya mengejut ditumbulkan DAP selepas Lim dihadapkan ke mahkamah bagi dua tuduhan rasuah awal bulan ini.
#DAP #Gerakan Pulau Pinang #Oh Tong Keong #Pilihan raya awal #PKR