Bashah akan tetap ikut arahan Mukhriz dalam UMNO negeri selagi ikut dasar pusat
Bernama
Februari 5, 2016 21:17 MYT
Februari 5, 2016 21:17 MYT
Walaupun kini menjadi Menteri Besar Kedah menggantikan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir, Datuk Seri Ahmad Bashah menegaskan beliau tetap akan melaksanakan arahan Mukhriz dalam hal membabitkan UMNO negeri selagi ia selaras dengan dasar di peringkat pusat.
Ahmad Bashah berkata Mukhriz masih lagi Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri dengan beliau sendiri sebagai timbalan.
"Beliau masih Pengerusi, dan saya masih perlu bertindak sebagai Timbalan Pengerusi.. Saya tetap terima arahan kalau diarahkan jika bertepatan dengan dasar parti di peringkat pusat," katanya kepada Bernama dalam satu temu bual di sini.
Sejak 20 Jan lepas, Kedah berhadapan dengan krisis politik apabila Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) dan anggota Parlimen Kedah serta pemimpin kanan UMNO Negeri yang diketuai Ahmad Bashah menyuarakan hilang keyakinan terhadap kepimpinan Mukhriz sebagai Menteri Besar dan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri.
Kemuncaknya, dua hari lepas Mukhriz mengumumkan peletakan jawatan beliau sebagai Menteri Besar Kedah berkuat kuasa serta-merta susulan kehilangan sokongan majoriti di DUN, dan digantikan dengan Ahmad Bashah yang mengangkat sumpah jawatan semalam.
Dalam temu bual itu, Ahmad Bashah berkata beliau menyedari tindakan beliau mengetuai "pemberontakan" terhadap Mukhriz menyebabkan perpecahan dalam kalangan penyokong-penyokong UMNO dan Barisan Nasional (BN), tetapi optimis masalah itu akan selesai menjelang pilihan raya umum kira-kira dua tahun lagi.
"Saya yakin masalah perpaduan ini akan selesai..tetapi bukanlah dalam masa terdekat ini. Ambil masa juga. Ini (krisis) berlaku kerana ada insiden tidak melihat kepentingan parti. Kita pernah lalui keadaan kita hilang kuasa selama lima tahun (2008-2013).
Itu yang kita nak pertahankan (menguasai kerajaan negeri)," katanya.
Ahmad Bashah sekali lagi mempertahankan tindakan beliau itu bukan kerana arahan daripada pihak-pihak tertentu.
"Kami dah simpan lama..keadaan makin lama makin teruk. Bila tengok keadaan politik, kami rasa perlu buat sesuatu. Kerana itu kami mendesak Perdana Menteri ambil tindakan segera," katanya.