‘Baru saya sedar, rupanya saya tak ada PhD’ - Annuar Musa
Astro Awani
Januari 10, 2021 23:14 MYT
Januari 10, 2021 23:14 MYT
KUALA LUMPUR: “Baru saya sedar… rupanya saya tak ada PhD.”
Demikian kata bekas Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN) Tan Sri Annuar Musa, secara sinis menerusi laman Twitternya petang tadi.
Ciapan itu dipercayai susulan kenyataan Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan, yang menyatakan bahawa hanya graduan Ijazah Falsafah Kedoktoran (PhD) dapat memahami keperluan untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Terdahulu, pada Ahad, Ahmad yang juga Setiausaha Agung BN baharu, sekali lagi mempertahankan usul UMNO agar PRU15 diadakan dalam masa terdekat.
Beliau mempersoalkan kesanggupan orang ramai yang beratur panjang di pasar raya, tetapi tidak sanggup untuk turun mengundi walau hanya sehari.
Sebelum itu, Ahmad dipetik Malaysiakini sebagai berkata, adalah wajar untuk mengadakan PRU, kerana banyak negara sudah melakukannya termasuk Amerika Syarikat dan Singapura.
Beliau juga menekankan bahawa pilihan raya kecil (PRK) telah diadakan di Chini dan Slim disusuli pilihan raya negeri (PRN) Sabah sewaktu negara sudah dilanda pandemik COVID-19.
Annuar yang juga Menteri Wilayah Persekutuan pada Selasa lalu telah dilucut daripada jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional yang diganti oleh Datuk Seri Ahmad Maslan.
Ahmad bagaimanapun berkata, Annuar tidak dipecat daripada jawatan tersebut, sebaliknya digantikan, termasuk jawatannya dalam Muafakat Nasional (MN).
Tambah Ahmad Maslan, ia adalah perkara biasa apabila jawatan Setiausaha Agung dipegang oleh individu yang sama.
Membalas kenyataan tersebut, Annuar menyifatkan Ahmad Maslan layak memegang jawatan tersebut kerana dia seorang yang “bijak dan memang layak”.
#Annuar Musa
#Ahmad Maslan
#PhD
#UMNO
#PRU15
#pilihan raya umum
#COVID-19
#Setiausaha Agung BN
#Menteri Wilayah Persekutuan