Baru, Abang Johari tolak perbezaan politik demi rakyat Sarawak
Rohana Wahed
Julai 9, 2018 21:33 MYT
Julai 9, 2018 21:33 MYT
Tolak perbezaan politik, utamakan keperluan rakyat dan bersama bangunkan Sarawak antara kata sepakat dicapai Menteri Kerja Raya, Baru Bian dengan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Abang Johari Tun Openg.
Kata sepakat itu dicapai dalam kunjungan 30 minit Baru dengan Abang Johari di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak petang tadi.
Baru ditemui selepas itu berkata, pertemuan antara beliau dengan Abang Johari juga menyentuh isu untuk fokus pembangunan di negeri itu.
"Sarawak masih ketinggalan dari segi pembangunan. Justeru kita setuju bahawa kerjasama Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri akan diteruskan untuk melancarkan pembangunan negeri ini," katanya.
Baru berkata, kerjasama itu juga melancarkan perancangan prasarana untuk manfaat rakyat.
Baru menyatakan kerjasama positif diberi Abang Johari berhubung perancangan kementeriannya yang mana meletak kepentingan rakyat di hadapan.
Hadir sama Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri James Jemut Masing dan Ahli Parlimen Saratok, Ali Biju.