Barisan Nasional dijenama semula - Ahmad Zahid
Bernama
Oktober 27, 2018 19:59 MYT
Oktober 27, 2018 19:59 MYT
Barisan Nasional (BN) akan distruktur dan dijenama semula untuk menjadikannya lebih teguh dalam misi memenangi Pilihan Raya Umum ke-15 dan membentuk kerajaan.
Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata entiti baharu itu akan disertai parti komponen BN sedia ada, rakan-rakan parti dalam pembangkang selain beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO).
Katanya Setiausaha Agung BN yang baharu Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz telah ditugaskan untuk melakukan proses pelaksanaan penjenamaan dan penstrukturan semula BN dalam masa terdekat ini.
"BN harus bangkit...(susulan) kekalahan pada PRU14 dan membuang sikap buruk dahulu seperti 'menikam belakang' sesama ahli dalam parti dan sebagainya," katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Perhimpunan Agung MIC ke-72 yang turut dihadiri Presiden MIC Tan Sri S.A. Vigneswaran.
Ahmad Zahid yang juga Presiden UMNO berkata BN mahu melihat kewujudan sistem dua parti dalam politik di Malaysia seperti diamalkan di beberapa negara lain.
Dalam pada itu, Vigneswaran berkata MIC akan terus bersama BN yang kini sedang dalam usaha penjenamaan semula itu.
-- BERNAMA