'Barisan kabinet masih ada ciri-ciri pembangkang' - Tun Mahathir

Azyyati Ahmad
Ogos 17, 2018 12:35 MYT
TUN M: Sifat-sifat lama itu masih lagi muncul serta mempengaruhi pemikiran barisan kepimpinan berikutan peralihan kuasa selepas 61 tahun tidak dapat mendirikan kerajaan. - Gambar fail
Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dalam tinggal kurang dari 24 jam pemerintahan 100 hari Pakatan Harapan, mengakui bahawa barisan kabinetnya masih memiliki ciri-ciri pembangkang dan mengambil masa menyesuaikan diri sebagai seorang pemerintah.
Katanya, sifat-sifat lama itu masih lagi muncul serta mempengaruhi pemikiran barisan kepimpinan berikutan peralihan kuasa selepas 61 tahun tidak dapat mendirikan kerajaan.
"Kita tahu bahawa baru-baru ini kita ada perubahan kerajaan, perubahan ini dilakukan selepas 61 tahun pihak pembangkang tidak dapat mendirikan kerajaan, dengan itu mereka mempunyai sifat-sifat pembangkang,
“Apabila mereka menjadi kerajaan, sifat-sifat lama itu masih muncul serta mempengaruhi fikiran mereka. Tetapi dalam masa pendek juga, mereka sudah membuat 'adjustment' (penyesuaian) dan sekarang ini sedar jadi pemerintah,” katanya ketika menyampaikan ucapan di Majlis Penyerahan Felo Perdana Tahun 2018 di Perdana Putra di sini hari ini.
Dalam ucapannya, Dr Mahathir turut menasihati anak muda yang bakal menceburi barisan kabinet negara supaya membuat persediaan bagaimana mahu menjadi pembangkang dan pemerintah yang baik di masa hadapan.
“Bagi generasi yang muda, mereka perlu buat persediaan, kalau jadi pembangkang tahu apa nak dibangkang, kalau jadi pemerintah kena tahu bagaimana nak berlagak sebagai pemerintah," tambahnya.
Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, yang juga merupakan Alumni Felo Perdana 2015, menteri-menteri kabinet dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Dr Ali Hamsa.
#100 Hari Malaysia Baharu #Ali Hamsa #Alumni Felo Perdana 2015 #kabinet #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #Tun M #Tun Mahathir #Wan Azizah Wan Ismail
;