Barisan Exco Negeri Melaka angkat sumpah petang ini

Shuhada Abdul Kadir
November 26, 2021 13:56 MYT
Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu yang memegang portfolio Exco Perancang Ekonomi, Kewangan Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC). - Foto Astro AWANI
MELAKA: Istiadat Pengurniaan Suratcara Pelantikan dan Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia barisan Exco Negeri Melaka bakal berlangsung kira-kira jam 3 petang ini.
Menurut Ketua Menteri, Datuk Seri Sulaiman Md Ali ia dijadual diadakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka, Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama, Seri Negeri.
Lapan muka baharu ditampilkan dalam barisan 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka yang diumumkan beliau hari ini.
Mendahului senarai itu, Sulaiman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Lendu yang memegang portfolio Exco Perancang Ekonomi, Kewangan Pembangunan Tanah, Agensi Berkaitan Kerajaan (GLC).
“Saya yakin, setelah diperhalusi dan berbincang dan perkenan Tun, maka Tun bersetuju dan Tun juga yakin dengan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Melaka, mereka boleh menepati dan menjalankan amanah sepertimana terkandung dalam manifesto aku janji kita lima tahun akan datang,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.
BACA: Sulaiman umum senarai 10 Exco Melaka, lapan muka baharu
Exco Melaka angkat sumpah jam 3 petang hari ini
Mengulas lanjut Sulaiman berkata Kerajaan Negeri Melaka akan membentuk Jawatankuasa Khas bagi memantau gerak kerja barisan Exco yang dilantik.
Setiap barisan Exco yang baharu dliantik itu juga akan diberi kad prestasi atau 'scorecard' bagi memastikan akujanji manifesto dapat dilaksanakan dalam tempoh ditetapkan.
'Scorecard' Exco Melaka untuk pantau Aku Janji
Selain Sulaiman, Pengerusi Badan Perhubungan UMNO negeri yang juga ADUN Tanjung Bidara Datuk Ab Rauf Yusoh pula memegang portfolio Exco Perindustrian, Pelaburan dan Pembangunan Usahawan.
Portfolio Kesihatan dan Anti dadah negeri yang sebelum ini dipegang oleh ADUN Ayer Molek, Datuk Rahmad Mariman kini diambil alih oleh wakil rakyat muda, Dr Muhamad Akmal Saleh yang juga ADUN Merlimau.
Rahmad kemudian dilantik memegang portfolio Exco, Pengangkutan,Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir.
ADUN Rembia Datuk Muhammad Jailani Khamis kekal memegang portfolio Pelancongan, Warisan dan Kebudayaan manakala portfolio Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan disandang oleh wakil rakyat tertua, Datuk Kalsom Nordin.
Selain itu, ADUN Serkam, Datuk Zaidi Attan dilantik sebagai Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Alam Sekitar dan calon tunggal MIC yang juga Adun Gadek VP Shanmugam memegang jawatan Exco Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO).
ADUN Telok Mas, Datuk Abdul Razak Abdul Rahman dilantik sebagai Exco Pembangunan Luar Bandar, Pertanian dan Industri Asas Tani manakala Adun Paya Rumput, Datuk Rais Yasin memegang portfolio Exco Pendidikan dan Teknologi.
Dalam pada itu, Adun Machap Jaya yang juga Adun MCA Ngwe Hee Sem, memegang portfolio Perpaduan, Hubungan Masyarakat, Tenaga Kerja dan Hal Ehwal Pengguna.
#exco Melaka #Sulaiman Md Ali #angkat sumpah #Tun Mohd Ali Rustam
;