Barisan calon baharu dan muda beri isyarat ekosistem politik baharu - Penganalisis

Raja Hisyam Raja Zaid
Februari 26, 2022 13:03 MYT
Pertempuran politik pada PRN Johor kali ini dilihat sengit sehingga ada kerusi dun yang dipertandingkan terpaksa berdepan dengan pertembungan tujuh penjuru. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Tindakan membariskan muka baharu dan muda dalam kalangan calon-calon Pilihan Raya Negeri Johor (PRN) oleh parti-parti yang bertanding pada sesi penamaan calon yang berlangsung hari ini, mungkin boleh diterjemahkan sebagai perubahan dalam ekosistem politik baharu yang lebih relevan.
Menurut penganalisis politik, Prof Dr Sivamurugan Pandian, ia jelas memberi isyarat bahawa kebanyakan parti-parti yang bertanding pada PRN Johor menyedari realiti keperluan politik semasa agar selari dengan kehendak pengundi masa kini.
“Bagi saya ia agak menarik untuk dilihat, dengan kehadiran calon-calon baharu dan muda, ini figura yang dirasakan boleh memainkan peranan mereka untuk mempengaruhi gelagat polar pengundian dalam kalangan pengundi.
“Sudah pasti itu juga penting untuk kita nilai kemampuan mereka untuk melihat akhirnya nanti memenuhi cabaran-cabaran yang perlu dipenuhi," jelasnya kepada Astro AWANI.
Selain itu katanya, calon-calon yang bertanding juga haruslah sedar bahawa cabaran yang bakal dihadapi oleh mereka dalam menangani permasalahan rakyat ketika ini bukanlah mudah.
Dengan ancaman pandemik COVID-19, iklim ekonomi yang tidak memberangsangkan serta kelesuan rakyat terhadap gelagat politik tanah air akan menjadi indikator penting bagi membolehkan mereka memenuhi harapan rakyat yang mahu melihat perubahan.
Malah katanya, dengan segala isu yang membelenggu mereka ketika ini, mungkin akan menjadi faktor sebahagian pengundi lebih memilih untuk tidak keluar mengundi pada PRN Johor.
“Sebagaimana apa yang telah kita lihat berlaku di Melaka dan juga di Sarawak sebelum ini. Walaupun begitu sudah pasti jentera parti yang mempunyai tanggungjawab untuk meningkatkan peratusan keluar mengundi,” jelasnya lagi.
Tambahnya lagi, sekiranya peratusan mengundi pada PRN Johor kali ini benar-benar belaku ia tentunya akan sekali lagi memberikan kelebihan buat Barisan Nasional (BN) seperti mana kelaziman yang berlaku sebelum ini.
Sebaliknya jika peratusan mengundi itu tinggi, kebiasaan yang berlaku adalah lebih cenderung menyebelahi parti pembangkang.
Dalam PRN Johor kali ini sebanyak 56 kerusi Dewan Undangan Negeri Johor dipertandingkan dengan proses penamaan calon berlangsung dengan lancar pagi tadi.
LAPOR LANGSUNG: PRN Johor: Proses penyerahan borang calon libatkan 56 kerusi berakhir 10 pagi
Pertempuran politik pada PRN Johor kali ini dilihat sengit sehingga ada kerusi DUN yang dipertandingkan terpaksa berdepan dengan pertembungan tujuh penjuru.
#Barisan Nasional #COVID-19 #ekonomi #PRN Johor
;