Bantuan Khas Ekonomi Madani bukan 'gula-gula' PRN - Fahmi
Bernama
Julai 28, 2023 15:45 MYT
Julai 28, 2023 15:45 MYT
KUALA LUMPUR: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil membidas kenyataan beberapa pihak yang mendakwa Bantuan Khas Penghargaan "Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat" merupakan 'gula-gula' politik menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) bulan depan.
Fahmi berkata pengumuman bantuan khas tersebut dibuat sebelum tempoh berkempen bagi PRN.
"Kempen akan bermula secara rasmi esok selepas selesai proses penamaan calon, jadi arahan untuk tempoh berkempen adalah dari 29 Julai sehingga 12 Ogos.
"Selain itu, disiplin kita (kerajaan) ialah tidak menggunakan jentera kerajaan, tidak boleh menyampaikan apa yang disebut 'gula-gula pilihan raya' dan tidak ada pengumuman projek 'mi segera'," katanya dalam sidang media selepas majlis pelancaran Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap Allo di sini, hari ini.
Semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis peluncuran "Ekonomi Madani: Memperkasa Rakyat" berkata kerajaan akan menyediakan bantuan khas penghargaan RM300 kepada penjawat awam gred 56 dan ke bawah yang akan dibayar dalam tempoh dua minggu.
Selain itu, kerajaan juga memberikan kredit e-tunai RM100 kepada rakyat dewasa yang berpendapatan RM100,000 setahun dan ke bawah.
Fahmi berkata kerajaan tidak boleh menghentikan perkhidmatan untuk rakyat dan menangguhkan sebarang pengumuman.
"Saya umumkan (Pakej Rahmah Jalur Lebar Tetap) ini adakah ia gula-gula juga? Ia adalah perkhidmatan biasa, kerja kerajaan perlu diteruskan. Takkan kita hendak menangguhkan semua pengumuman," katanya.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan PRN di Selangor, Kedah, Pulau Pinang, Kelantan, Terengganu dan Negeri Sembilan serta PRK Parlimen Kuala Terengganu diadakan serentak pada 18 Ogos ini manakala tarikh penamaan calon esok dan pengundian awal pada 8 Ogos.
-- BERNAMA