Banjir: 'Kami dah muak, tak tahulah mengundi ke tidak PRU15 ini' - Penduduk Durian Tunggal
Shuhada Abdul Kadir
Oktober 23, 2022 19:20 MYT
Oktober 23, 2022 19:20 MYT
ALOR GAJAH: Pilihan raya datang lagi dan pemimpin silih berganti.
Namun, masalah banjir yang membelenggu penduduk Durian Tunggal, di sini sejak berbelas tahun lalu, bagai tiada kesudahan.
Kini apa yang dinantikan mereka bukan hanya bantuan, tetapi janji manis yang boleh ditawarkan oleh calon-calon yang bakal bertanding pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15) nanti.
Sebagaimana Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada November tahun lalu, ujar mereka, pelbagai janji jangka pendek dan panjang dikemukakan calon bertanding untuk mengatasi masalah banjir di Durian Tunggal.
Mangsa banjir berulang di kawasan itu ketika ditemui Astro AWANI berkata, janji berkenaan hanya tinggal di atas kertas apabila penduduk terus dilanda banjir yang tidak berpenghujung sehinggakan mereka mula berasa muak untuk membuat pilihan pada 19 November ini.
Lebih-lebih lagi, apabila musibah itu melanda lagi, rentetan hujan lebat berterusan selama beberapa jam bermula lewat petang semalam yang mengakibatkan lebih 50 rumah ditenggelami air.
Bencana itu menyebabkan 57 keluarga terpaksa meninggalkan kediaman masing-masing untuk bermalam di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan Durian Tunggal di sini.
Mangsa terbabit adalah penduduk dari lima kampung yang terjejas iaitu Kampung Pulau, Kampung Gadek, Kampung Bukit Tambun, Kampung Bukit Balai dan Kampung Punggur.
Menurut penduduk, ini adalah kali kelapan banjir melanda penempatan mereka sepanjang tahun ini.
Bagi penduduk Kampung Pulau, Nasir Ahmad, 59, dia mengakui sudah muak dengan janji pemimpin politik berhubung isu banjir di kawasannya memandangkan mereka sudah menanggung derita itu sejak lebih 15 tahun lalu.
“Bukan janji yang baru-baru ini sahaja, pemimpin dulu-dulu pun sama dan kita sudah hilang kepercayaan kepada wakil rakyat yang akan memimpin di sini nanti.
“Saya sudah tidak yakin pada mereka kerana semua janji hanya janji kosong. Apabila berkempen kata mereka akan buat macam-macam tetapi habuk pun tidak ada, jadi kalau boleh calon yang akan bertanding di kerusi Parlimen nanti buatlah pembaharuan di tempat saya,” katanya.
Seorang suri rumah, Mashitah Jantan, 40, yang turut menyuarakan kekesalan sama berkata, pengalaman sebanyak lapan kali berulang alik ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) akibat banjir sejak awal tahun lalu, amat memeritkan.
Ibu kepada enam anak itu mendakwa, dia tidak nampak sebarang usaha oleh mana-mana pihak untuk menyelesaikan isu yang berlarutan sejak berbelas tahun lalu itu.
“Masuk sekarang ini sahaja dah lapan kali dah pindah, yelah setiap kali kena banjir tu nak kena basuh rumah dengan anak sekolah lagi, bukan barang rumah sahaja rosak tetapi barangan persekolahan anak-anak juga pun ranap.
“Jangan janji sahaja, tolong kotakan dan selesaikan masalah ini dan kami harap sangat adalah perubahan selepas PRU nanti,”ujarnya.
Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Keselamatan dan Komuniti (JPKK) Kampung Pulau, Mohsin Abdul Rashid berharap cadangan memindahkan penduduk yang terjejas banjir di kampung itu dan kawasan berhampiran dapat direalisasi segera.
Katanya, langkah jangka panjang itu jelasnya, dilihat mampu mengatasi masalah yang selama ini dihadapi penduduk.
“Kita harap sangat pemimpin akan datang nanti dengar suara rakyat, beri tumpuan kepada kawasan Durian Tunggal ini kerana kalau banjir memang teruk, adakala sampai paras tingkap.
“Setiap kali hujan kita semua berada dalam kebimbangan dan kalau boleh berikan perhatian khusus dan buat tindakan secepat mungkin,” katanya.
Sementara itu, menurut rekod Laporan Khas Impak Banjir Malaysia 2021, Jabatan Perangkaan, negeri Melaka merupakan negeri ketiga yang merekodkan nilai kerugian tertinggi banjir selepas Selangor dan Pahang.
Di Melaka, Durian Tunggal merupakan antara kawasan yang paling kerap dilanda banjir di daerah Alor Gajah terutama apabila berlaku hujan lebat yang berterusan.