Banjir Baling: Pembangkang DUN Kedah kecewa dua usul ditolak
Abdul Hadi Che Awang
Julai 18, 2022 17:44 MYT
Julai 18, 2022 17:44 MYT
ALOR SETAR: Ahli-ahli Dewan Undangan Negeri (DUN) pembangkang Kedah menyatakan rasa kecewa selepas dua usul yang dibawa bagi dibincangkan di dalam sidang DUN hari ini melibatkan tragedi banjir dan kepala air di Kupang, ditolak.
Menurut Timbalan Pengerusi Parti Amanah Negara (Amanah) Kedah yang juga ADUN Pengkalan Kundor, Datuk Ismail Salleh, usul yang dibawakannya adalah usul tergempar isu banjir dan kepala air dengan merujuk kepada peruntukan Peraturan Mesyuarat Perkara 27(1), (2), (3) dan (4).
Manakala usul kedua, dibawakan Tan Kok Yew (PH-Derga) adalah untuk menangguhkan Mesyuarat di bawah Peraturan Mesyuarat 18(1) bagi membincangkan satu perkara tertentu, berkehendak disegerakan dan berkenaan kepentingan orang ramai.
Beliau menjelaskan penolakan itu menggambarkan kerajaan negeri pimpinan Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor sebagai pihak yang melakukan perbuatan 'hit and run'.
"(Menteri Besar Kedah) tidak menjelaskan itu satu (isu), saya tidak gembira apabila (ada pihak) menggunakan bencana yang ada kematian, kehilangan rumah, harta benda, menggunakan isu ini untuk meraih keuntungan politik dengan fitnah, jadi jangan buat macam itu,
"(Atas sebab itu) kami nak (ruang perbahasan di dalam) Dewan ini untuk menjelaskan semua ini, sebab kami berbahaslah, kami nak yang itu tetapi tak, pada saya kerajaan sekarang macam 'hit and run', mereka (selalu) tuduh bila mahu berbincang dalam (soal) ini, mereka tidak mahu, tolak.
"Jadi saya fikir kalau kerajaan itu adalah jenis yang bertanggungjawab, saya rasa mengapa tidak untuk kita bincang, bukan ADUN pembangkang ini orang yang bodoh-bodoh, tidak mampu untuk memberi pandangan supaya jangan berlaku lagi," katanya.
Sementara itu, Ismail menegaskan bahawa tindakan ADUN-ADUN pembangkang membawa usul berkenaan bukan hanya untuk meraih kepentingan politik sebaliknya mahu membincangkan secara terperinci mengenai tragedi yang berlaku.
Ianya adalah bagi memastikan kejadian sama tidak berulang pada masa akan datang di lokasi-lokasi yang lain.
"(Saya rasa penolakan itu dibuat sebab (MB) ingin meraih laba politik (sahaja), kami nak penjelasan dalam dewan, apa 'mileage' politik kepada pembangkang, dia kena jawablah, 'mileage' poltik boleh dapat kepada kerajaan kalau dia jawab, contohnya dia bangun hentam kami, contohnya.
"Kami bukan nak (bangkitkan) isu laba politik, kami nak bagaimana nak atasi isu besar ini, tidak pernah berlaku dalam sejarah, apa banjir lumpur ini tiba-tiba dia naik bukan salah dia, tapi bincang apa dia dan kita tidak hendak berlaku lagi akan datang," katanya lagi.
Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas sesi Sidang DUN Kedah di Wisma Darul Aman pada Isnin.
Terdahulu, Speaker DUN Kedah, Datuk Juhari Bulat hari ini menolak dua usul dibawa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) pembangkang mengenai perkara berkaitan bencana terbabit.
Menurutnya, beliau menolak usul yang dibawa Ismail kerana tempoh notis diberikan ADUN berkenaan terlalu singkat dan tidak mengikut peraturan ditetapkan iaitu 14 hari sebelum tempoh persidangan atau jika diusulkan melalui Menteri Besar, tempohnya adalah tujuh hari.
Manakala penolakan usul dibawa Kok Yew, dibuat selepas usul tersebut disebabkan oleh masa yang tidak sesuai kerana tindakan secara tergesa-gesa itu sama sekali tidak adil kepada kerajaan dan Speaker.