ALOR SETAR: Bangsa Johor dinasihatkan tidak tertipu kali kedua dengan manifesto diumumkan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengarah Komunikasi Pemuda UMNO Malaysia, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri berkata, manifesto itu seolah-olah mengumumkan kembali manifesto bukan kitab suci yang pernah dicanangkan mereka pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lepas.

"Kali ini, janji bulan dan bintang mereka ditambah lagi dengan ciri tiada idea baharu, tiada hala tuju, banyak plagiarisme, tiada perincian dan tidak masuk akal.

"Misalnya, kuota khas anak Johor di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) Johor yang dicanang PN itu sebenarnya di bawah bidang kuasa kerajaan Persekutuan bukan kerajaan negeri," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Tambah beliau, Pemuda UMNO melihat manifesto PN dan PH memiliki kelompongan besar kerana perkara asas seperti kestabilan langsung tidak disentuh.

"Kononnya, mereka mahu tiga wanita dalam pentadbiran namun hanya mencalonkan 10.7 peratus sahaja wanita."

BACA SEMUA BERHUBUNG PRN JOHOR DI SINI

Katanya, selain PN, lebih melucukan tindakan Penubuhan Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) sekali lagi berjanji kononnya mahu menawarkan peluang pekerjaan bergaji tinggi.

Beliau mempersoalkan kemungkinan Muda berfikir dengan menjaja janji dan menipu lebih ramai belia Johor.


Artikel asal di Sinar Harian