'Bakulsampahkan' komponen PH yang gugat penyatuan parti Melayu - Rahim

Astro Awani
Julai 8, 2019 17:00 MYT
RAHIM: Bukan masanya bagi Dr Mahathir hendak sibuk menjaga hati komponen PH tentang kemasukan orang Melayu ke dalam Bersatu. - Gambar Astro AWANI
Perbuatan sesetengah komponen Pakatan Harapan (PH) untuk menggugat Tun Dr Mahathir Mohamad dalam isu pelawaan orang Melayu untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) seharusnya 'dibakulsampahkan' sahaja.
Pengerusi Gagasan Badan Ekonomi Melayu (Gabem), Tan Sri Rahim Tamby Chik berkata, isu orang Melayu untuk menyertai Bersatu atau persoalan bila jawatan perdana menteri akan diganti tidak relevan sama sekali dipersoalkan dengan mandat dan amanah yang diberi rakyat sebelum ini.
“Seruan Dr Mahathir agar Melayu bersatu melalui Bersatu sekarang satu kenyataan paling patriotik dan berani pernah dikeluarkan setakat ini selaku perdana menteri ketujuh.
“Bukan masanya bagi Dr Mahathir hendak sibuk menjaga hati komponen PH tentang kemasukan orang Melayu ke dalam Bersatu.
“Apa yang penting bagi Dr Mahathir adalah Melayu mesti bersatu sebagai kaum majoriti di negara ini dan perpaduan Melayu akan menentukan bukan saja hala tuju negara malah sama ada kestabilan boleh dipertahankan demi kesejahteraan dan keselesaan hidup rakyat,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebooknya, pada Isnin.
BACA: UMNO, BN tolak pelawaan Tun M sebab sekongkol dengan DAP
BACA: Penyatuan parti Melayu: Anwar mahu dengar sendiri dari Tun M
Sebelum ini, Dr Mahathir mempelawa semua parti politik Melayu, termasuk UMNO untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu, selain menyifatkan penyatuan itu penting kerana Melayu kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berkata, kepemimpinan Bersatu diharap konsisten dengan keputusannya berhubung pengambilan ahli daripada mana-mana parti lain.
Jelas Guan Eng, pihaknya akan berpegang kepada konsensus dalam Majlis Presiden PH bahawa mana-mana pemimpin didapati terbabit dalam rasuah tidak akan diterima masuk.
Dalam pada itu tegas Rahim, paling jelas keberanian Dr Mahathir membuat seruan patriotik kepada Melayu yang kini berada di persimpangan jalan.
“Dr Mahathir faham dan insaf bahawa mandat rakyat dalam PRU14 kepada beliau adalah amanah dan tanggungjawab yang mesti dilaksanakan tanpa kompromi.
“Maksudnya rasuah mesti dimusnahkan dan pada masa yang sama pembangunan negara mestilah digerakkan ikut acuan negara ini di mana Melayu adalah majoriti dengan posisi yang tertinggal dalam banyak aspek.
“Dr Mahathir sedar bahawa kuasa yang diperolehinya melalui perjawatan perdana menteri mengikut Perlembagaan Negara adalah kuasa mentadbir negara daripada Yang di-Pertuan Agong,” jelasnya.
Tambahnya, menteri-menteri cuma menjalankan kuasa-kuasa yang diamanahkan kepada perdana menteri dan terpulang kepada budi bicara Dr Mahathir sendiri untuk sesiapa yang dipercayai untuk memegang jawatan.
Dalam konteks berkaitan, Rahim menegaskan, satu muzakarah perpaduan Melayu mesti diadakan untuk membantu usaha penerimaan hakikat perpaduan serumpun.
“Muzakarah ini mesti mencari pendekatan yang waras dan jawapan yang tepat kepada persoalan unsur atau motivasi yang boleh menyatukan Melayu dengan mengenepikan perbezaan yang memecahkan mereka selama ini.
“Mungkin muzakarah ini mampu mencadangkan faktor-faktor motivasi yang boleh menguatkan semangat serumpun seperti agama, survival ekonomi, transformasi pendidikan, dan kebijaksanaan politik mesti diterokai dan dikenal pasti secara tepat dan menepati sasaran untuk perpaduan total.
“Apa yang menjadi realiti di negara ini sekarang adalah perpaduan Melayu yang goyah dan berpecah manakala kondisi ekonomi Melayu masih bertatih dan tidak mampu berdikari,” katanya.
Jelasnya, muzakarah itu nanti adalah hala tuju yang akan didebat, dikaji, diteliti dan wajar diimplementasi secara tegas.
“Kali ini biarlah yang membawa angin perubahan ini datangnya dari kepimpinan Melayu dari semua sektor dan lapisan. Bukan hanya dari sektor politik sebagaimana selama ini berlaku.
“Walaupun politik berhasrat untuk meningkatkan kecapaian tamadun manusia tetapi dalam laluan sejarahnya, politik amat mudah tercemar dan dirosakkan oleh agenda peribadi, ketamakan, kuasa, kemaksiatan dan kecemburuan,” ujarnya.
#agenda #Barisan Nasional #DAP #ekonomi #Lim Guan Eng #Mahathir Mohamad #Pakatan Harapan #PPBM #PRU14 #Rasuah #UMNO
;