Bakhtiar pangku Pengerusi PKR Pulau Pinang
Astro Awani
Januari 13, 2019 21:47 MYT
Januari 13, 2019 21:47 MYT
Ketua Cabang PKR Balik Pulau Muhammad Bakhtiar Wan Chik dilantik sebagai Pemangku Pengerusi PKR Pulau Pinang susulan perletakan jawatan Pengerusinya, Nurul Izzah Anwar.
Perlantikan sebulat suara itu diumumkan Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Keadilan Pulau Pinang dalam satu kenyataan pada Ahad.
Keputusan melantik Muhammad Bakhtiar yang juga Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya dibuat pada mesyuarat kali pertama ketua-ketua cabang yang dipengerusikan sendiri Nurul Izzah di Yayasan Aman Penanti.
Mesyuarat turut memutuskan Ketua Cabang Bayan Baru yang Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Sim Tze Zin sebagai Timbalan Pengerusi MKN.
Manakala jawatan Naib Pengerusi MPN disandang Ketua Cabang Kepala Batas yang juga Timbalan Ketua Menteri 1, Pulau Pinang,Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman.
MPN negeri mengekalkan Zulkifli Saad sebagai Setiausaha dan Francis Joseph selaku Bendahari.
MPN Keadilan Pulau Pinang juga komited memulakan gerakan memacu pasukan baru yang stabil dan dinamik kepada agenda reformasi demi menzahirkan kebajikan yang bermakna buat rakyat negeri itu.
Terdahulu MPN mengadakan mesyuarat tertutup bersama semua ketua cabang PKR negeri.
Nurul Izzah dan beberapa ketua cabang enggan ditemubual dan memberikan sebarang komen kepada wakil media .
Pada 16 Disember lalu, Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar diumumkan sebagai Pengerusi PKR Pulau Pinang yang baharu menggantikan Ahli Parlimen Nibong Tebal, Datuk Mansor Othman.
Bagaimanapun, Nurul Izzah mengumumkan peletakan jawatannya sebagai Naib Presiden PKR dan Pengerusi PKR Pulau Pinang sehari selepas itu.
#agenda
#GERAKAN
#Ketua Menteri
#Media
#menteri
#Nurul Izzah
#Nurul Izzah Anwar
#Parlimen
#pelancongan
#Permatang Pauh
#PKR
#presiden
#rakyat