'Baiki hubungan antara parti, baru fikir siapa layak jadi PM' - Nazri
Shafiq Noordin
Mei 21, 2017 15:31 MYT
Mei 21, 2017 15:31 MYT
Pihak pembangkang diminta memperbaiki hubungan dalam kalangan parti-parti dalam Pakatan Harapan terlebih dahulu sebelum mula bercakap mengenai calon yang akan menjadi Perdana Menteri.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz berkata, tidak gunanya jika pembangkang yang ketika ini dalam keadaan berkecamuk “bermimpi” mengenai perkara berkenaan sedangkan masalah di hadapan mata tidak dapat diselesaikan.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ura-ura kononnya Ketua Pembangkang Datuk Seri Dr. Wan Azizah Wan Ismail akan diangkat menjadi Perdana Menteri peralihan sementara menantikan pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim.
“Minta rakyat lihat sendiri prestasi Dr Wan Azizah sebagai Ketua Pembangkang dan nilailah sendiri.
“Saya minta mereka fokus untuk berbaik-baik dahulu sebelum bercakap tentang siapa yang akan jadi Perdana Menteri, selesaikan satu-satu isu dahulu,” kata Nazri.
Beliau ditemui selepas merasmikan program Komuniti Seni Budaya dan Kesukarelawanan IM4U Puspanita, Kementerian Pelancongan dan Kebudayaan di Dataran Kampung Laneh, Padang Rengas hari ini.
#Anwar Ibrahim
#Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz
#Dr Wan Azizah Wan Ismail
#Pakatan Harapan
#pembangkang
#UMNO
#Wan Azizah Wan Ismail