Bagai 'parti diktator' jika jawatan Presiden, Timbalan Presiden tidak dipertandingkan - Noor Hairi
Astro Awani
Disember 25, 2022 06:00 MYT
Disember 25, 2022 06:00 MYT
KUALA LUMPUR: UMNO akan menjadi seolah-olah ‘parti diktator’ sekiranya meluluskan usul supaya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden tidak dipertandingkan, kata Naib Ketua Pemuda UMNO Perlis, Noor Hairi Noor Mohammed.
Tegasnya, UMNO sejak dari dulu merupakan parti berteraskan demokrasi namun jika usul tersebut diluluskan, beliau berpendapat UMNO bukan lagi sebuah parti demokrasi.
Mengambil Perlis sebagai contoh, Noor Hairi menegaskan, keputusan Presiden Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menggugurkan dua nama besar menyebabkan parti itu kalah di negeri tersebut.
“Jika usul jawatan Presiden ini tidak dipertandingkan, ia pasti akan mengakibatkan kesan yang amat buruk kepada UMNO.
“Pertandingan untuk jawatan Presiden ini perlu supaya suara akar umbi dapat diterjemahkan dalam bentuk undi.
“Selain itu, ia dapat membuktikan keabsahan jawatan Presiden itu sendiri,” katanya dalam kenyataan semalam.
Astro AWANI semalam melaporkan, Prof Sivamurugan Pandian berpendapat semua jawatan seharusnya dipertandingkan pada pemilihan UMNO akan datang bagi terus menyuburkan amalan demokrasi dalam parti.
Penganalisis politik dari Universiti Sains Malaysia (USM) itu berkata, perkara itu menjadi lebih penting ketika ini bagi menampakkan proses perubahan yang cuba dibawa UMNO, selain mewujudkan keabsahan kepimpinan dan perpaduan dalam parti.
Baru-baru ini, media melaporkan sesetengah ahli UMNO mengatakan bahawa sudah tiba masanya jawatan Presiden dan Timbalan Presiden dipertandingkan dalam pemilihan tersebut.
Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas, Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz dilapor berkata, UMNO dianggap tidak demokratik sekiranya tunduk kepada usaha pihak tertentu menghalang jawatan dalam parti dipertandingkan, pada pemilihan parti akan datang.
Beliau juga menyifatkan pihak yang mencadangkan agar kedua-dua jawatan itu tidak dipertandingkan seolah-olah memandang rendah keupayaan Ahmad Zahid dan Datuk Seri Mohamad Hasan.
Katanya, kedua-dua pemimpin itu telah membuktikan kehebatan masing-masing dengan memenangi pemilihan lalu tanpa sebarang jawatan dalam kerajaan.