Azmin tolak dakwaan Abdullah Sani
Bernama
September 2, 2018 05:03 MYT
September 2, 2018 05:03 MYT
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali menolak dakwaan anggota Parlimen Kapar, Datuk Abdullah Sani Abdul Hamid bahawa pemilihan beliau sebagai timbalan presiden PKR akan menyebabkan krisis pelantikan menteri besar Selangor yang berlaku pada 2014 berulang di peringkat persekutuan.
Bekas menteri besar Selangor itu berkata, pemilihan mana-mana menteri besar perlu melalui proses tertentu dan tidak mungkin seorang individu boleh menentukan kedudukan seorang individu yang lain.
"Dia (pelantikan menteri besar) ada proses yang dibincang, diputuskan dan diangkat kepada pihak istana untuk proses seterusnya.
"Jadi saya rasa benda itu (dakwaan Abdullah Sani) tidak relevan kerana presiden parti (Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail) telah berulang kali mengeluarkan kenyataan yang menjelaskan proses (pelantikan menteri besar)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Agung Tahunan Cabang Keadilan Perdana Selangor 2018 di sini, pada Ahad.
Dalam wawancara dengan sebuah portal berita berbahasa Inggeris pada Ahad, Abdullah Sani meminta anggota PKR memilih pemimpin yang jujur dan setia.
Memberi contoh krisis pelantikan menteri besar Selangor pada 2014, anggota Parlimen Kapar itu berkata Mohamed Azmin menjadi menteri besar Selangor menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meskipun pada awalnya nama beliau tidak dicalonkan oleh parti.
"Ketika itu, nama presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail telah dicalonkan sebagai menteri besar Selangor yang baharu selepas mendapat majoriti sokongan Anggota Dewan Undangan Negeri Selangor, entah bagaimana PAS calonkan Mohamed Azmin dan namanya dibawa ke istana tanpa restu parti," demikian menurut Abdullah Sani seperti dilaporkan portal berita tersebut.
Dalam pada itu, mengenai cabaran Abdullah Sani supaya beliau (Azmin) membuktikan kesetiaannya kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan menawarkan kerusi Parlimen Gombak kepada ketua umum parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil, Mohamed Azmin menjawab: "Jadi siapa yang tidak surrender (kerusi Parlimen) itu maksudnya tidak setialah?"
"Dalam konteks itu pada pemahaman saya seolah-olah siapa yang tidak surrender tidak setia. Bagaimana dengan kenyataan Nurul Izzah Anwar? Saya nak tanya you," kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu tanpa mengulas lanjut.
Nurul Izzah sebelum ini menafikan dakwaan sebuah portal kononnya beliau akan meletak jawatan sebagai anggota Parlimen Permatang Pauh untuk membolehkan pilihan raya kecil diadakan bagi memberi laluan kepada bapanya (Anwar) bertanding di kawasan itu.
Jawatan timbalan presiden PKR pada pemilihan parti yang dijadualkan berlangsung dari 14 Sept hingga 13 Okt depan, menyaksikan pertembungan sengit antara Mohamed Azmin dengan Rafizi Ramli sementara Anwar menang tanpa bertanding kerusi presiden PKR selepas tempoh pencalonan ditutup pada 5 Ogos lepas.
-- BERNAMA
#Abdullah Sani Abdul Hamid
#Anwar Ibrahim
#bertanding
#Istana
#Kesetiaan
#krisis pelantikan
#Menteri Besar
#Menteri Besar Selangor
#Mohamed Azmin Ali
#Nurul Izzah Anwar
#Parlimen Kapar
#pemilihan parti
#Selangor
#timbalan presiden