Azmin terharu keputusan Guan Eng tidak jadi adakan PRN Pulau Pinang

Rahimah Abdullah
Julai 31, 2016 15:45 MYT
AZMIN: Ini bukan soal bertelagah tetapi pandangan yang dikemukakan.
Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengakui terharu dengan keputusan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng untuk tidak meneruskan cadangan memgadakan Pilihan Raya Pulau Pinang.
Beliau yang juga Menteri Besar Selangor pada masa sama menegaskan keputusan itu menandakan Guan Eng mengutamakan semangat muafakat dalam Pakatan Harapan.
"Saya amat terharu Ketua Menteri telah mengambil tindakan secara kolektif dalam semangat Pakatan Harapan dan ini satu suasana yang cukup baik di mana kita sering berbincang dan saya sendiri telah menyampaikan pendirian PKR kepada Guan Eng pada petang semalam secara rasmi.
"Dalam tempoh yang begitu singkat, beliau telah membuat keputusan setelah berbincang dengan Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP yang saya fahamkan," katanya semasa ditemui media selepas menyampaikan sumbangan kepada kepada lebih 200 bakal jemaah haji di Masjid Al-Hidayah Taman Melawati di sini hari ini.
Tambahnya, kenyataan Guan Eng itu juga sekali gus menjadi contoh bagaimana Pakatan Harapan mampu menyelesaikan masalah dalam parti.
"Inilah semangat yang kita pertahankan dalam parti Pakatan Harapan di mana kita sering berbincang dan bermuafakat untuk menyelesaikan beberapa perkara yang timbul," kata beliau.
Azmin bagaimanapun menafikan berlaku pertelagahan antara parti dalam Pakatan Harapan susulan cadangan mengadakan PRN Pulau Pinang sebelum ini.
Sebaliknya, setiap pandangan dibincangkan secara konsensus dalam kalangan anggota parti.
"Ini bukan soal bertelagah tetapi pandangan yang dikemukakan. DAP juga memohon pandangan daripada PKR dan anggota Pakatan Harapan. Sudah tentulah kita memberi pandangan kita.
"Yang lebih penting pandangan ini dirumuskan dalam semangat konsensus iaitu satu perkembangan yang cukup positif maknanya ia tidak membuat keputusan secara unilateral tetapi mempertahankan muafakat dalam pakatan dalam menyelesaikan beberapa perkara," tegas beliau.
Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng dalam sidang media hari ini berkata tidak akan meneruskan rancangannya untuk mengadakan pilihan raya mengejut di negeri itu.
Ia susulan PKR tidak bersetuju dengan cadangan tersebut.
#Azmin Ali #Pilihan raya awal #PKR #pulau pinang
;