Azmin tak perlu cipta gimik - UMNO Selangor
Sinar Harian
April 10, 2018 19:10 MYT
April 10, 2018 19:10 MYT
UMNO Selangor menasihatkan Menteri Besar (kerajaan sementara), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali supaya memanfaatkan masa berbaki untuk membuat kerja yang bermanfaat daripada membuang masa mencipta gimik.
Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, Azmin tidak perlu membuang masa untuk mengumumkan apa yang dilakukannya.
"Tidak perlu pun nak buat kerja macam tu. Takda signifikannya. Mereka layak pakai kita tak pertikaikan pun.
"Sementara ada waktu sebagai kerajaan sementara ini jadi lebih baik gunakan baki mentadbir yang ada untuk buat kerja lebih bermanfaat demi rakyat daripada buang masa buat gimik sebegini," katanya kepada Sinar Harian.
Menurutnya, barangkali betullah anggapan yang Mohamed Azmin kini mulai panik memandangkan banyak perkara yang merantai beliau sekarang ini.
"Nak buat manifesto pun tak berani sebab dah tipu rakyat. Dalam manifesto hanyalah cakap-cakap kosong yang saya kategorikan sebagai perangkap bukan satu janji. Lainlah dengan kerajaan BN yang membuat janji sekaligus menunaikan apa yang dijanji," katanya.
Semalam, Mohamed Azmin memulangkan kembali kereta rasmi digunakan kepada kerajaan negeri selepas selesai Istiadat Pembubaran DUN Selangor.
Turut memulangkan kenderaan rasmi itu exco kerajaan negeri.
Beliau membuat pengumuman itu menerusi status akaun Facebook miliknya dan turut memuat naik gambar beliau dan exco di sisi kenderaan masing-masing.
Sementara itu, Ketua UMNO Bahagian Klang, Datuk Nasarruddin M Zin berkata, tindakan Mohamed Azmin dan exconya menyerahkan kembali kenderaan rasmi adalah seperti cerita kartun kerana ia tidak pernah berlaku sebelum ini.
"Mungkin untuk mendapat publisiti murahan kononnya mereka tidak hairan dengan kenderaan milik rasmi kerajaan.
"Seharusnya perkara ini tidak perlulah diviralkan kerana semua orang tahu bahawa bila kita tamat sahaja perkhidmatan secara automatiknya kita kena serahkan apa sahaja milik kerajaan kerana ia bukan milik kita," katanya.
Beliau yang juga koordinator merangkap pengarah pilihan raya DUN BN-Pelabuhan Klang, berasakan Mohamed Azmin dalam keadaan yang panik kerana BN Selangor dapat melancarkan satu manifesto yang begitu memberangsangkan dan dapat memberikan masa depan yang lebih cerah kepada rakyat.
"Saya lihat Azmin ada kelam kabut sikit dan akhir-akhir ini nampak beliau agak pasif," katanya.
#Barisan Nasional
#Facebook
#Malaysia Memilih
#Mat Nadzari Ahmad Dahlan
#Mohamed Azmin Ali
#Nasarruddin M Zin
#Pelabuhan Klang