Azmin tak cakap, saya tak boleh komen - Amirudin
Syah Hairizal Kamalul Arifin
Julai 18, 2018 17:35 MYT
Julai 18, 2018 17:35 MYT
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata beliau tidak dapat memberikan sebarang komen mengenai desas desus perebutan jawatan Presiden PKR pada pemilihan parti akan datang.
Beliau juga tidak dapat melahirkan sebarang sokongan selagi tidak mendapat sebarang pengesahan dari Timbalan Presiden parti, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali yang beliau akan bertanding jawatan itu.
"Kita perlu lihat dahulu sama ada betul atau tidak Datuk Seri Mohamed Azmin Ali akan bertanding jawatan presiden atau tidak.
"Saya tidak boleh nyatakan pendirian sokongan saya tanpa sebarang kenyataan jelas oleh Datuk Seri Mohamed Azmin.
"Kita sama-sama tunggu dan lihat," jelas Adun Sungai Tua, Amirudin Shari ketika ditanya mengenai ura-ura Azmin akan bertanding kerusi jawatan Presiden pada pemilihan PKR yang diadakan bulan depan.
Berhubung jawatan-jawatan lain yang dipertandingkan termasuk khabar angin yang menyatakan bahawa beliau akan bertanding bagi kerusi Naib Presiden, Amirudin menjelaskan masih belum berfikir mengenainya.
"Saya belum membuat sebarang keputusan untuk bertanding atau tidak,
"Tumpuan saya kini adalah untuk bersama-sama parti menghadapi Pilihan Raya Kecil Sungai Kandis," jelasnya pada pemberita sebelum Majlis Sumbangan Kepada Veteran Kurang Upaya (VPU) di Sungai Kandis, di sini hari ini.