Azmin sedia jumpa Hadi bincang isu calon PRK

Bernama
Mei 20, 2016 15:01 MYT
Mohamed Azmin (gambar) berkata beliau telahpun mengadakan perjumpaan dengan Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Datuk Mustafa Ali untuk berbincang isu berkenaan. -Gambar fail
Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sedia untuk berjumpa dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang bagi membincangkan isu calon dua pilihan raya kecil (PRK) yang akan diadakan bulan depan.
Menteri Besar Selangor itu berkata beliau telahpun mengadakan perjumpaan dengan Timbalan Presiden PAS Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Pengarah Pilihan Raya Pusat PAS Datuk Mustafa Ali untuk berbincang isu berkenaan.
"Saya juga ada berjumpa dengan pemimpin Parti Amanah Negara (Amanah) dan Ketua Menteri Pulau Pinang (Lim Guan Eng).
"Rundingan berjalan dengan positif dan masih lagi terbuka, harap ia (siapa calon bertanding) bakal dimuktamadkan dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas merasmikan program SmartSelangor Food Stamp di sini hari ini.
Mohamed Azmin berkata demikian ketika diminta mengulas pendirian PAS yang berkeras mahu meletakkan calon merebut kedua-dua kerusi Parlimen Sungai Besar, Selangor dan Parlimen Kuala Kangsar, Perak.
Semalam media melaporkan PAS telah menyerahkan enam nama calon bagi dua PRK itu kepada Dewan Ulama bagi proses saringan.
Kerusi Parlimen Sungai Besar dan Kuala Kangsar kosong berikutan kematian penyandang masing-masing Datuk Noriah Kasnon dan Datuk Wan Mohammad Khair-il Wan Ahmad, korban dalam nahas helikopter di Sebuyau, Sarawak pada 5 Mei lepas.
Kedua-dua PRK akan diadakan serentak pada 18 Jun dan penamaan calon pada 5 Jun.
#Abdul Hadi Awang #Mohamed Azmin Ali #pilihan raya kecil
;