Azmin sahkan lapan bekas pimpinan UMNO sertai PN
Sinar Harian
Mei 21, 2023 05:00 MYT
Mei 21, 2023 05:00 MYT
SHAH ALAM: Ketua Penerangan Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mengesahkan terdapat lapan bekas pimpinan UMNO menyertai gabungan tersebut.
Beliau yang juga Pengerusi PN Selangor bagaimanapun enggan mengumumkan nama pemimpin tersebut atas faktor keselamatan.
"Kerajaan ketika ini ialah kerajaan yang mengugut. Kalau mereka dapat tahu, dia akan ugut dan akan tekan. Ini satu perkara yang tidak baik.
"Jadi, sabar kerana ia akan diumumkan tidak lama lagi, mungkin selepas Hari Raya Aidiladha," katanya kepada pemberita semasa Majlis Rumah Terbuka PN Selangor di Shah Alam, pada Ahad.
Turut hadir, Presiden PN, Tan Sri Muhyiddin Yasin, serta pimpinan PN.
Mohamed Azmin menambah, rakyat terutama di Selangor menyambut banyak perayaan tahun ini dan ia dilanjutkan sehingga pilihan raya negeri (PRN) tidak lama lagi.
"Hari Raya tahun ini panjang, hari ini sudah pun tamat Syawal, sudah masuk 1 Zulkaedah tetapi bagi Selangor 'raya' itu dilanjutkan sehingga PRN," katanya. - Sinar Harian