Azmin perlu guna kepakaran Abdul Khalid - Dr Siva
Wan Syamsul Amly
September 23, 2014 15:56 MYT
September 23, 2014 15:56 MYT
Menteri Besar Selangor, Mohamed Azmin Ali seharusnya tidak meminggir dan menggunakan kepakaran bekas Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk pembangunan negeri.
Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia, Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian berkata, Abdul Khalid sehingga kini harus diakui dilihat antara menteri besar paling berjaya di negeri itu selain tidak harus dilupakan hanya kerana faktor politik semata-mata.
"Abdul Khalid dilihat antara menteri besar yang berjaya di Selangor dan agak malang jika kepakarannya tidak digunakan lagi hanya kerana faktor politik.
"Wajar pihak berwajib membawa anjakan sikap dengan tidak meminggirkannya tetapi dibuka ruang untuk memantapkan pembangunan di Selangor," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Abdul Khalid dalam kenyataan media terakhirnya sebagai Menteri Besar Selangor pada Isnin memberitahu, menerusi dasar berjimat cermat dan perbelanjaan berhemah, rizab simpanan negeri Selangor meningkat kepada RM3.3 bilion.
Jelasnya, kegemilangan pentadbirannya membuktikan Selangor meneruskan tradisi sebagai pemangkin ekonomi negara dengan menyumbang lebih kurang 24 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia di samping kekal menjadi antara destinasi pelaburan terunggul negara.
Dalam pada itu jelas Dr Siva, masa depan Abdul Khalid sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) selepas ini dilihat masih cemerlang dan terus menyumbang kepada pembangunan negeri.
"Semua tahu Abdul Khalid hanya akan menjadi ADUN sahaja kini. Namun dia masih boleh menyumbang jika dilihat trek rekodnya," ujarnya.
Dr Siva turut mengulas mengenai cabaran besar yang akan dihadapi Azmin selepas menjadi Menteri Besar Selangor;
"Bagi Azmin, cabaran besar adalah untuk dilihat sebagai pemimpin yang boleh melahirkan pembaharuan berterusan jauh lebih baik dari Abdul Khalid dan cuba menyatukan semula pihak yang bertelagah sebelum ini dari krisis menteri besar," jelasnya.
Sementara itu, Azmin selepas Majlis Angkat Sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu memberitahu akan meneruskan dasar-dasar pentadbiran yang dilaksanakan oleh Abdul Khalid sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, kedudukan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Penasihat Ekonomi negeri akan diteliti semula.