Azmin masih tidak hadir mesyuarat Biro Politik PKR
Khairunnisa Kasnoon
November 20, 2019 22:33 MYT
November 20, 2019 22:33 MYT
Biro Politik Keadilan masih menunggu penjelasan Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berhubung pertemuannya dengan Ahli Parlimen Barisan Nasional (BN) pada Isnin lalu.
Ia berikutan Mohamed Azmin yang juga Menteri Hal Ehwal Ekonomi tidak hadir dalam mesyuarat Biro Politik parti yang diadakan di Parlimen pada Rabu malam.
Menurut Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil tiada sebarang tindakan disiplin diambil ke atas Ahli Parlimen Gombak itu dan beliau diberi peluang untuk tampil memberi penjelasan atas ketidakhadirannya dalam Mesyuarat Biro Politik parti yang diadakan setiap minggu.
"Sepanjang pengetahuan Biro Politik, masih belum ada kes disiplin membabitkan Timbalan Presiden, Datuk Seri Azmin Ali," ujarnya.
Mesyuarat Biro Politik PKR diadakan di pejabat Parlimen bagi memudahkan Ahli Parlimen yang menganggotai biro termasuk Azmin hadir ke mesyuarat terasebut memandangkan sidang parlimen berlangsung pada sebelah siangnya.
Pada Isnin lalu, Mohamed Azmin dilaporkan mengadakan pertemuan dengan Ahli-Ahli Parlimen PH dan BN di Putrajaya.
Dipercayai kesemua mereka berada di rumah tersebut sejak pukul 7 petang dan kelihatan meninggalkan kediaman itu pada pukul 11 malam.
Mohamed Azmin dilaporkan tidak menghadiri mesyuarat parti itu sejak setahun lalu.
#Ahli Parlimen Barisan Nasional
#Ahli Parlimen BN
#Azmin Ali
#Fahmi Fadzil
#Keadilan
#Menteri Hal Ehwal Ekonomi
#Mohamed Azmin Ali
#PKR