Azmin mahu orang tertentu keluar, saya mahu semua masuk - Anwar

Raja Hisyam Raja Zaid
Disember 29, 2018 17:07 MYT
Anggota Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim (tengah) bergambar bersama sebahagian pemain pada Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Anwar Ibrahim di Pantai Saujana, hari ini. - Foto Bernama
Selepas Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Azmin Ali membuka mulut menyuarakan rasa tidak puas hati beliau terhadap beberapa pelantikan baharu dalam parti itu termasuk membabitkan jawatan Naib Presiden, Presidennya Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini memberikan reaksi beliau.
Lapor Bernama, Anwar menegaskan timbalannya itu sepatutnya menggunakan saluran yang betul sekiranya berasa tidak berpuas hati dalam isu pelantikan tersebut.
"Itu pandangan peribadinya, saya mahu itu menjadi inklusif. Beliau mahu orang tertentu keluar, saya mahu semua dibawa masuk, itu perbezaannya," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Bola Sepak Pantai Piala Anwar Ibrahim di sini hari ini.
BACA: Azmin persoal Anwar mengenai perlantikan baharu MPP
Malah tambah Anwar, sebagai pemimpin tertinggi, Azmin sepatutnya menunjukkan contoh yang baik terhadap ahli parti dan tidak menggunakan media.
“Anda tidak boleh menafikan keperluan untuk semua pihak dibawa masuk. Saya telah membawa masuk mereka dari kalangan puaknya (Azmin) dan dari puak Rafizi,” katanya lagi.
Kenyataan oleh dua pemimpin tertinggi PKR itu menimbulkan tanda tanya ramai apabila kelihatan seakan tidak sehaluan dalam beberapa perkara.
Perlantikan Rafizi Ramli ke jawatan asalnya selaku Naib Presiden dilihat menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan kem Azmin selepas pertarungan sengit ketika merebut jawatan Timbalan Presiden PKR baru-baru ini.
Azmin berkata pelantikan beberapa individu tertentu dalam kepimpinan tertinggi parti, seperti yang diumumkan Anwar, dilihat tidak mencerminkan prinsip ‘fair and just representation’.
Menteri Hal Ehwal Ekonomi itu juga berkata, pelantikan itu juga tidak akan membantu parti untuk maju.
“Beberapa individu yang dinamakan juga terlibat secara langsung dalam proses pemilihan yang tidak telus dan menyebabkan punca perpecahan dalam parti,” katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #bola sepak #Media #Parti Keadilan Rakyat #PKR #presiden #Rafizi Ramli #rakyat
;