Azmin ke Turki, muktamadkan calon PRK Sungai Kandis - Amirudin
Sinar Harian
Julai 15, 2018 19:13 MYT
Julai 15, 2018 19:13 MYT
Pengerusi Pakatan Harapan Selangor, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, dijangka bertemu dengan Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim di Turki bagi memuktamadkan nama calon Harapan bagi Piliha Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari, mengesahkan perkara itu, dan beliau kini masih lagi menunggu keputusan tersebut.
Beliau berkata, lebih dari tiga nama dibawa oleh Timbalan Presiden PKR itu untuk dipertimbangkan bersama pucuk pimpinan.
"Saya harap keputusan dapat diperolehi dengan segera dan kita boleh umumkan dalam masa yang terdekat.
"Semua calon ada latar belakang tersendiri yang dicalonkan peringkat cabang, negeri dan pusat. Sudah tentu tujuan nama-nama ini dicadangkan adalah demi kemenangan.
"Faktor kemenangan dengan memahami persekitaran dan juga mood sentimen semasa itu yang menjadi pertimbangan," katanya ditemui media pada Program Selangor Industrial Ride 2.0 di sini hari ini.
Anwar berada di Turki bagi menjalani pembedahan tulang belakang dan pertemuan dijangka dirancang Mohamed Azmin untuk tujuan ziarah dan membincangkan perkara berkenaan.
Mengulas lanjut, Amirudin berkata,meskipun nama calon belum dimuktamadkan persediaan awal telah dilaksanakan bagi berdepan PRK Sungai Kandis.
Ujarnya, jentera-jentera telah digerakkan bagi mengenal pasti suasana kemenangan di situ.
"Yang pentingnya bagi saya, saya mahu gerakkan jentera-jentera lebih awal dan saya sendiri sudah turun dua kali di sana.
"Malam ini juga saya akan turun lagi untuk bersama anak muda untuk acara Final World Cup 2018," katanya.
Penamaan calon bagi PRK Sungai Kandis ditetapkan pada Sabtu depan dan pembuangan undi pula pada 4 Ogos depan.
#Amirudin Shari
#Anwar Ibrahim
#Ketua Umum Harapan
#Menteri Besar Selangor
#Mohamed Azmin Ali
#PRK DUN Sungai Kandis
#Turki