Azmin digesa ikut langkah Zahid Hamidi - Puad Zarkashi
Astro Awani
Mac 8, 2020 00:25 MYT
Mac 8, 2020 00:25 MYT
Datuk Seri Mohamed Azmin Ali digesa untuk mengikut jejak langkah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi tidak mahu menyertai Kabinet kerajaan Perikatan Nasional.
Gesaan itu dibuat Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi yang merujuk bekas Timbalan Presiden PKR itu dengan kontroversi rakaman video intim yang pernah dikaitkan dengan Azmin tidak lama dulu.
"Datuk Zahid sudah buat pengumuman, dia tidak mahu dilantik dalam kabinet baru TS Muhyiddin. Walaupun prinsipnya, seseorang itu tidak bersalah sebelum dibuktikan bersalah oleh Mahkamah.
"Zahid tahu kes beliau akan dijadikan isu. Justeru, bila Azmin mahu buat pengumuman sama?" kata Puad dalam hantaran di Facebook peribadinya pada Ahad malam.
Dalam hantaran itu, Puad turut menasihatkan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin agar meletakkan integriti di kedudukan teratas dalam memilih barisan jemaah menteri.
"Muhyiddin tidak boleh selektif dalam mempertahankan integriti. Mereka yang melompat parti juga tidak ada intergriti. Mereka tidak patut dilantik dalam Kabinet baru Muhyiddin," kata beliau.
Kepada Azmin pula, ini nasihat Puad: "Ok Azmin, jangan fikir lama lama. Umum sahaja yang kamu bersedia untuk tidak disenaraikan."
Muhyiddin yang mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri kelapan pada 1 Mac lalu berikrar untuk melantik pemimpin berintegriti ke dalam Kabinetnya yang dijangka diumumkan pada Selasa ini.
Dalam perkembangan sama, Ahmad Zahid pula membuat kenyataan terbuka meminta Perdana Menteri tidak melantiknya menganggotai jemaah menteri.