Azmin, buktikan anda macam Jokowi - Ketua Pembangkang Selangor
Astro Awani
Oktober 24, 2014 14:30 MYT
Oktober 24, 2014 14:30 MYT
Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali diminta membuktikan hasratnya untuk melebihkan masa bersama rakyat seperti yang dilakukan Presiden Indonesia, Joko Widodo (Jokowi).
Ketua Pembangkang Selangor, Datuk Mohd Shamsuddin Lias berkata, masih terlalu awal untuk mana-mana pihak melabel Azmin seperti Jokowi selain menilai prestasi menteri besar baru itu.
"Dia kena buktikan, itu sahaja...tunggu sahaja. Dia kata mahu ikut Jokowi, buktikanlah masa anda lebih banyak untuk rakyat.
"Dia masih baru sebulan jadi menteri besar, semangat pun kuat lagi, kita tunggu proses pentadbirannya selepas ini," katanya semasa dihubungi di sini hari ini.
Mohd Shamsuddin yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Burong berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Azmin yang mengakui program turun padang yang dilaksanakannya setiap minggu merupakan inspirasi daripada Jokowi.
Kata Azmin, tugas Jokowi yang dilihat majoritinya bersama rakyat berbanding di pejabat akan diaplikasikan di dalam corak pentadbirannya di Selangor.
Azmin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor yang ke-15 pada 23 September lepas di hadapan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.
Sementara itu, dalam perkembangan berasingan, Mohd Shamsuddin menjelaskan, mana-mana pihak tidak wajar menuduh ADUN Pelabuhan Klang, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mahu melepaskan jawatannya sebelum masa Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor November depan.
Katanya, Abdul Khalid yang juga bekas Menteri Besar Selangor itu sudah banyak ditimpa 'dugaan' selepas isu penyingkiran jawatannya sebelum ini.
"Abdul Khalid ini seperti sudah jatuh dan kita 'pukul' lagi...tidak baiklah.
"Kita hendak kata dia tidak hadir Persidangan DUN, nanti dia hadir bagaimana? Kita kena tunggu dahulu baru buat kenyataan," katanya.
Sebelum ini, Bekas Menteri Besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo menyifatkan Abdul Khalid akan melepaskan jawatannya sebagai ADUN dengan menggunakan strategi 'ponteng' sidang DUN.
Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Johan Abdul Aziz turut menyifatkan Abdul Khalid boleh melepaskan jawatan dan amanahnya menjaga rakyat jika merasakan sudah tidak mahu lagi berkhidmat di kawasan itu.