Azmin boikot majlis penutup Kongres Nasional Keadilan?

Firdaus Azil
Disember 8, 2019 09:56 MYT
Mohamed Azmin dipercayai sudah pun berangkat pulang ke Kuala Lumpur sejak petang semalam. -Gambar fail
Mengikut kelaziman perhimpunan sesuatu parti politik, pimpinan tertinggi khususnya presiden dan timbalan presiden, akan menyampaikan ucapan penutup.
Namun berbeza pada Kongres Nasional Keadilan kali ini yang dilihat sedikit tempang apabila media difahamkan orang nombor dua parti Datuk Seri Mohamed Azmin Ali sudah pun berangkat pulang ke Kuala Lumpur sejak petang semalam.
Dalam sidang media pada Sabtu, Azmin berkata beliau kesal dan kecewa dengan Presiden PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim kerana didakwa melanggar 'perjanjian damai’ yang dimeterai dalam satu mesyuarat tertutup pada 4 Disember lepas.
Azmin berkata mengikut perjanjian itu, beberapa keputusan telah dicapai, antaranya:
- Bersetuju untuk mempertahankan tradisi dan konvensyen parti dalam Perasmian Bersama Kongres Nasional Tahunan Angkatan Muda & Wanita KEADILAN oleh Timbalan Presiden.
- Perbahasan oleh para pembahas di pentas kongres hanya akan memberi tumpuan kepada isu-isu dasar serta pengukuhan KEADILAN. Pembahas harus memberi tumpuan untuk mengartikulasi hala tuju dan masa depan KEADILAN.
- Bersetuju supaya komposisi pembahas adalah adil mewakili semua pihak dengan jaminan membawa agenda parti.
- Pembahas juga tidak dibenarkan menyinggung, menyindir dan menyerang mana-mana pihak memandangkan ia akan menggasir objektif kongres. Presiden telah memberi jaminan bahawa kesemua pembahas akan mematuhi perimeter dan garis seperti yang dipersetujui.
Namun, jelasnya lagi, Anwar melalui ucapan dasarnya telah membuka laluan kepada pembahas lain untuk menyerang beliau serta pimpinan lain secara terbuka.
“Harapan para perwakilan dan pemerhati supaya Ucapan Dasar Presiden memberi fokus kepada dasar dan hala tuju yang inklusif dan progresif ternyata meleset.
“Ucapan Presiden yang bermula dengan sorotan klasik tentang kisah Si Kitol dan Raja Mendeliar jelas membuka laluan kepada para pembahas yang lain untuk terus melakukan serangan peribadi dan memecahkan perpaduan pimpinan dan anggota KEADILAN,” katanya lagi.
Sidang media itu turut dihadiri Naib-naib Presiden PKR Tian Chua, Zuraida Kamaruddin dan Ali Biju, Ketua Wanita Nasional Haniza Talha dan timbalannya Dr Daroyah Alwi, termasuk Ahli Majlis Pimpinan Pusat seperti Baru Bian, Datuk Saifuddin Abdullah, dan Amirudin Shari.
#Anwar Ibrahim #Azmin Ali #Kongres Nasional Keadilan 2019 #perhimpunan #perjanjian damai #PKR #ucapan dasar
;