Azmin biadab bila panggil polis barua UMNO - Syed Ali

Astro Awani
Mei 5, 2015 23:03 MYT
SYED ALI: Azmin biadab bila panggil polis barua UMNO - Gambar fail
Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali disifatkan terlalu biadab apabila menuduh polis menjadi barua UMNO dan Barisan Nasional (BN), tegas Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Seri Syed Ali Alhabshee.
Tegasnya, PKR kini semakin terdesak sehingga membuat tuduhan kurang siuman terhadap pihak polis dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar.
"Tindakan Azmin itu juga berbau hasutan dengan mengajak rakyat membenci pasukan keselamatan.
"Ia satu penghinaan yang tidak boleh dimaafkan terhadap seluruh pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
"Menteri Besar Selangor itu sudah melampau batas dan bersikap kurang ajar apabila mengeluarkan kata-kata kesat terhadap penjawat awam," tegasnya dalam catatan terbaharu di laman blog http://umnobahagiancheras.blogspot.com.
Ketika berucap di satu majlis ceramah politik di Permatang Pauh pada malam Isnin, Azmin dilaporkan sebuah portal bertanya kepada hadirin sekiranya pegawai cawangan khas (SB) turut serta di ceramah itu.
"SB ada di belakang? Kalau ada datang depan. Saya tak takut. Beritahu Ketua Polis Negara, tolonglah, nak jadi Ketua Polis yang menjaga keselamatan rakyat atau nak jadi barua UMNO dan BN?" kata Azmin yang disambut sorakan kira-kira 200 hadirin.
Selepas itu, Azmin kemudian sekali lagi dilaporkan mengajukan soalan dan meminta hadirin menjawab sama ada Khalid menjaga keselamatan negara atau UMNO.
"Saya nak tanya orang Permatang Pauh, orang Permatang Pauh kena jawab malam ini. Ketua Polis yang ada sekarang menjaga keselamatan negara atau keselamatan UMNO dan BN?" soal Azmin.
Dalam pada itu jelas Syed Ali, penghinaan yang dilakukan Azmin tidak boleh diterima dan sekali gus mencerminkan PKR sangup mengetepikan undang-undang kerana desakan politik.
"Pihak berkuasa perlu mengambil tindakan tegas terhadap Timbalan Presiden PKR itu.
"Pembangkang sanggup menghalalkan cara untuk mengekalkan kuasa politik. Azmin sengaja melakukan provokasi jahat bagi mencetuskan kegelisahan orang awam dan ketidakpercayaan masyarakat terhadap polis.
"Tuduhan Azmin itu amat serius dan jika dibiarkan tanpa tindakan undang-undang, dikhuatiri akan mencetuskan persepsi negatif masyarakat terhadap pasukan keselamatan secara keseluruhannya," tegasnya.
Tambah Syed Ali lagi, tugas pihak polis selama ini tidak mencampuri urusan politik sebaliknya menguatkuasakan undang-undang bagi menjaga ketenteraman awam.
"Apabila ada yang langgar undang-undang termasuk dilakukan oleh pemimpin politik, maka pihak polis terpaksa bertindak berasaskan prosedur sedia ada.
"Tuduhan kesat Azmin terhadap pihak polis khususnya kepada Khalid dilihat amat keterlaluan," jelasnya.
Mengulas lanjut, Syed Ali menegaskan Azmin tidak sepatutnya menggunakan pentas politik untuk membuat tuduhan terhadap IGP dan mengaitkannya dengan UMNO mahupun BN.
"Mengapa kaitkan UMNO, apakah selama ini orang UMNO tidak ada yang ditahan polis, apakah orang UMNO kebal?
"Sebagai Menteri Besar Selangor, Azmin sepatutnya berfikiran lebih rasional kerana undang-undang sedia ada di negara ini tidak mengecualikan seseorang individu atau kumpulan tertentu.
"Dia (Azmin) sengaja ambil kesempatan dalam ceramah politik untuk melepaskan geram dengan menghina pasukan polis dan Khalid, ini perlakuan yang tidak bermoral," katanya.
Syed Ali turut menyatakan rasa kesal kerana pemimpin pembangkang sering menunding jari kepada pihak polis di atas kesalahan yang mereka lakukan.
BACA: Tun Mahathir tidak akan sesekali sertai pembangkang atau sokong kempen mereka - Mukhriz
BACA: Kungfu Mahathir adalah taichi bagi Azmin Ali - Salleh Said Keruak
BACA: Pandangan, kritikan ayah saya bukan bertujuan lemahkan parti - Mukhriz Mahathir
Dalam perkembangan berkaitan, Syed Ali sependapat dengan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir bahawa bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad tidak akan menyertai pembangkang walaupun beliau dilihat banyak mengkritik pentadbiran Datuk Seri Najib Tun Razak.
"Pada hemat saya, tidak mungkin Dr Mahathir akan membelakangkan UMNO walaupun dia dilihat mengkritik kerajaan yang ada sekarang.
"Dr Mahathir merupakan negarawan dan pemimpin UMNO yang sayangkan kepada parti dan rakyat serta negara ini.
"Selama ini pembangkang sengaja memutarbelitkan teguran Dr Mahathir dengan mendakwa bekas Perdana Menteri itu menyebelahi mereka," katanya.
Jelasnya, pembangkang juga dilihat sengaja memperalatkan nama Dr Mahathir untuk meraih sokongan seperti yang didakwa dakwaan Mukhriz kononnya Dr Mahathir akan turun ke PRK Rompin dan menyertai perhimpunan haram di Sogo baru-baru ini.
#Azmin #Khalid #PKR #polis #Syed Ali #UMNO
;