Azmin Ali Terus Sekat Kebebasan Memilih, Bersikap Kuku Besi
Budiman Mohd Zohdi
November 10, 2017 18:47 MYT
November 10, 2017 18:47 MYT
1) Tersebar di media hari ini satu surat pekeliling dari Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor yang mengingatkan semua jabatan dan agensi termasuklah anak syarikat milik kerajaan agar menghentikan langganan surat khabar Utusan Malaysia dan Berita Harian.
2) Walaupun surat tersebut adalah pekeliling peringatan berhubung arahan yang dibuat pada tahun 2008, jelas sekali pentadbiran kerajaan negeri di bawah Azmin Ali menafikan kebebasan memilih dan tidak bersikap terbuka dalam penyampaian maklumat menerusi pilihan akhbar yang ada di pasaran.
3) Rakyat Malaysia hari ini termasuklah kakitangan agensi dan jabatan kerajaan negeri Selangor tidak lagi tinggal di negara yang disekat akses media sepertimana yang dilakukan ketika 22 tahun pentadbiran Pengerusi Pakatan Harapan. Rakyat kini boleh berfikir dengan waras dalam memberi pertimbangan wajar apabila menerima sesuatu berita.
4) Selain itu juga, jika sekalipun terdapat apa-apa berita yang mungkin tersalah lapor oleh mana-mana media, pihak yang berkepentingan dalam laporan media tersebut mempunyai hak untuk mengambil tindakan undang-undang jika terdapat salah laku yang melanggar integriti media. Azmin Ali tidak perlu takut untuk menghadapi realiti kebebasan media ini.
5) Tindakan kerajaan negeri di bawah pentadbiran Azmin Ali ini menunjukkan suatu tindakan dayus serta menghalang daya pemikiran penjawat awam. Arahan pekeliling ini merupakan suatu tindakan terkebelakang seperti mana yang pernah dilakukan oleh pemimpin terdahulu.
__________________________________________________________________________
*Budiman Mohd Zohdi adalah Ahli Parlimen Sungai Besar dan ADUN Sungai Panjang
**Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.