Azmin ada agenda sendiri, Muhyiddin khianati saya - Dr Mahathir

Irwan Muhammad Zain
Mac 1, 2020 10:34 MYT
Dr Mahathir menjelaskan beliau telah mencadangkan agar Bersatu diperkuatkan jika bimbang dengan pengaruh DAP. - Astro AWANI
Tun Dr Mahathir Mohamad kecewa dengan sikap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa telah mengkhianatinya.
Dr Mahathir juga menganggap bekas Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali mempunyai agendanya sendiri yang menyebabkan kerajaan Pakatan Harapan (PH) tumbang.
“Azmin ada agenda sendiri tetapi saya rasa lebih dikhianati oleh Muhyiddin,” katanya pada sidang media di Yayasan Al Bukhary, hari ini.
Dr Mahathir mendakwa Muhyiddin menyalahkan DAP akibat kekalahan yang dialami Bersatu dalam beberapa pilihan raya kecil sebelum ini antaranya di Semenyih dan Tanjung Piai.
“Dia jumpa saya dan beritahu tidak boleh bekerjasama dengan DAP dan memujuk saya supaya Bersatu jauhkan diri dari DAP.
“Dia juga kata orang Melayu percaya bahawa DAP yang mengawal kerajaan bukan saya,” katanya.
BACA: Keluhuran undang-undang tidak lagi diamalkan - Dr Mahathir
BACA: Agong enggan jumpa saya lagi - Tun Mahathir
Dr Mahathir menjelaskan beliau telah mencadangkan agar Bersatu diperkuatkan jika bimbang dengan pengaruh DAP.
[LAPOR LANGSUNG] MY2020 Muhyiddin PM-8
Namun katanya, dalam mesyuarat Bersatu baru-baru ini rayuannya agar tidak keluar PH tidak lagi diterima.
“Bersatu keluar dan PH tidak lagi mempunyai majoriti,” jelas beliau.
Selepas mengumumkan Bersatu keluar dari PH, Muhyiddin membentuk kerjasama dengan Muafakat Nasional dan menubuhkan kerajaan baru atas nama Perikatan Nasional.
Yang di Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah telah berkenan untuk melantik Muhyiddin sebagai perdana menteri kelapan.
#Azmin Ali #khianat #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Perdana Menteri #pilihan raya kecil
;