Aziz Bari tidak tolak kemungkinan gabungan kerjasama parti politik di Perak
Fareez Azman
Disember 4, 2020 19:17 MYT
Disember 4, 2020 19:17 MYT
KUALA LUMPUR: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tebing Tinggi, Dr Abdul Aziz Bari tidak menolak kemungkinan gabungan kerjasama diantara parti politik di negeri Perak boleh berlaku seperti sebelum ini.
Menurut beliau, dalam gelanggang politik tiada apa yang mustahil boleh berlaku asalkan menepati tuntutan Perlembagaan serta tidak bertentangan dengan norma.
Bahkan, kata ADUN dari DAP itu, sejak 2008 lagi, sudah banyak gabungan kerjasama yang tidak pernah terbayang di fikiran rakyat sudah berlaku.
“Jadi saya fikir tidak mustahil melihat gabungan baharu, asalkan pimpinan peringkat Pusat bersedia menerima dan di sana juga harus ada pengecualian.
“Jangan lihat apa yang berlaku di peringkat Persekutuan tidak boleh berlaku peringkat negeri kerana sifat Persekutuan itu mengizinkan kelainan," katanya dalam temu bual bersama Astro AWANI pada Jumaat.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan undi percaya yang ditolak majoriti ADUN Perak terhadap Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu hari ini.
Dalam perkembangan sama, Abdul Aziz mengucapkan syabas kepada Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid atas keberanian dan ketegasan dalam membawa usul terbabit.
"Kita tahu jalan itu ada, cuma kelebihan kita di Perak iaitu kita mempunyai Speaker yang begitu mantap dan terbuka.
"Kalau tidak saya sendiri berasa suspen juga lepas ke usaha ini mengikut aturan mesyuarat yang diberikan kepada ADUN semalam. Benda itu (usul percaya) akan dibentangkan selepas Belanjawan.
“Jadi keberanian beliau mengambil satu langkah yang berani diterima (untuk) satu perkara berlaku," katanya lagi.
Sementara itu, Abdul Aziz berkata, isu kepimpinan Ahmad Faizal telah lama dipersoalkan sebelum ini.
Namun apabila usul percaya itu dibawa ternyata ADUN Chenderiang itu gagal mengekalkan sokongan pada tahap yang dikehendaki Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Perak.
"Apa yang berlaku bahawa kerajaan yang dipimpin oleh Ahmad Faizal gagal memenangi sokongan dan keyakinan Ahli Dewan, jadi tiada cara lain selain meletakkan jawatan,” katanya lagi.
#Dr Abdul Aziz Bari
#Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri
#ADUN
#politik
#Menteri Besar
#Ahmad Faizal Azumu
#kerajaan
#ADUN Tebing Tinggi
#politik perak
#krisis politik
#kemelut politik