Aziz Bari terus berteka-teki isu calon MB Perak
Shafiq Noordin
April 29, 2018 21:31 MYT
April 29, 2018 21:31 MYT
Calon kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Tebing Tinggi, Prof Dr Abdul Aziz Bari mengambil pendekatan terbuka dengan tidak mengiyakan atau menafikan cakap-cakap tentang potensi besar dirinya sebagai calon Menteri Besar sekiranya pembangkang berjaya membentuk kerajaan negeri pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) nanti.
Mengakui masih terlalu awal untuk beliau memberi sebarang kenyataan mengenai isu tersebut, calon Melayu tunggal DAP di Perak itu bagaimana pun tidak menafikan wujud perbincangan di peringkat parti yang diwakilinya tentang perkara itu.
"Orang (ada) bincang tapi bukan saya (yang berbincang), bincang berdasarkan faktor-faktor tertentu yang saya fikir tidak boleh dinafikan.
"Tetapi sekarang terlalu awal untuk beritahu sebab kita tidak tahu berapa kerusi kita boleh menang," katanya ketika ditemui Astro AWANI semasa gerakan kempen rumah ke rumah di Taman Desa Pengkalan, hari ini.
Beliau diminta mengulas spekulasi serta analisis politik tempatan yang menyifatkan pemilihan beliau hanya sebagai strategi persediaan DAP untuk menjadi calon menteri besar jika Pakatan Harapan menang di Perak sekali lagi selepas gagal berbuat demikian pada PRU12.
Ketika itu, DAP langsung tiada wakil Melayu walaupun memiliki kerusi paling banyak dan terpaksa menjadikan Mohammad Nizar Jamaluddin, yang ketika itu daripada Pas, sebagai Menteri Besar sebelum kerajaan negeri Perak beralih kuasa kepada BN pada 2009.
Pada PRU14, DAP meletakkan misi merebut tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN termasuk yang disumbangkan Abdul Aziz di Tebing Tinggi.
Mengulas lanjut Abdul Aziz berkata beliau tidak berasa begitu selesa membincangkan perkara tersebut sebelum sampai masanya.
"Saya fikir tidak baik untuk saya melayan perkara itu (isu calon Menteri Besar), ia mungkin akan sebabkan rakan-rakan lain tidak selesa, mungkin akan jadi isu untuk dimainkan oleh orang di sebelah sana (Barisan Nasional) jadi dua perkara ini perlu kita fikir dulu.
"(Namun) tidak mematikan terus (isu ini) tapi simpan dulu isu ini. Saya fikir dalam politik ini macam-macam boleh berlaku, politik adalah satu permainan yang penuh dengan kemungkinan," tambahnya.
Menjawab sama ada beliau sedar kelayakan akademik yang dimiliknya menjadikan beliau orang paling layak untuk jawatan itu, Abdul Aziz berkata, "Kalau begitu (persepsi), terima kasihlah."
"Walaupun mungkin saya layak tetapi banyak lagi perkara yang perlu dipertimbangkan seperti (calon perlu) mendapat perkenan Tuanku Sultan Perak," kata pakar perlembagaan yang berasal dari Sabak Bernam itu.
Abdul Aziz sebelum ini pernah bertanding di Sabak Bernam pada PRU13 namun tewas di tangan BN dengan majoriti 1,644 undi.
#abdul aziz bari
#calon DAP
#DUN Tebing Tinggi
#MalaysiaMemilih
#MB Perak
#Menteri Besar Perak
#PRU14