Aziz Bari bukan calon Menteri Besar Pakatan
Nazialita Geynna Maharan
April 18, 2018 16:40 MYT
April 18, 2018 16:40 MYT
Timbalan Pengerusi Amanah Perak, Datuk Seri Nizar Jamaluddin menafikan sekerasnya bahawa Profesor Abdul Aziz Bari merupakan calon Menteri Besar Perak sekiranya Pakatan Harapan (Pakatan) memenangi PRU serta berjaya membentuk kerajaan.
Katanya, Aziz yang merupakan ahli DAP untuk bertanding bagi kerusi DUN Tebing Tinggi tidak pernah dicalonkan sebagai pemimpin utama negeri Perak baik oleh kepimpinan tertinggi parti DAP seperti Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng.
Katanya, kenyataan penjelasan pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng jelas memperincikan bahawa Aziz bukan antara calon bagi jawatan tersebut.
"Ianya merupakan cakap-cakap orang BN ... itu hanya satu putar-belit yang mereka cuba reka, telah dinyatakan secara jelas oleh Lim Kit Siang dan Lim Guan Eng … mereka tidak langsung ada hasrat walau sekelumit untuk mengambil kerusi MB Perak,"katanya lagi.
Ketika ditanya mengenai peluang beliau pula untuk menjawat semula jawatan Menteri Besar Perak, Nizar ringkas mengatakan ia terpulang kepada prestasi keseluruhan PH di Perak.
" Sekarang, kita ada calon-calon daripada Bersatu, DAP dan PKR, jadi ianya bergantung kepada sesiapa yang akan dipilih oleh keempat-empat parti ini, ia akan menjadi satu keputusan sebulat suara,"katanya kepada pemberita dalam sidang media di Pejabat DAP, di sini, hari ini.
Abdul Aziz yang menyertai DAP pada tahun 2015 pernah mencuba nasib pada PRU13 dengan bertanding di kerusi Parlimen Sabak Bernam atas tiket PKR namun tewas kepada BN.
#Amanah
#Barisan Nasional
#DAP
#Lim Guan Eng
#Lim Kit Siang
#Malaysia Memilih
#Menteri Besar
#Pakatan Harapan
#PKR
#PRU13
#Sabak Bernam