Azhar tidak hasrat tanding PRU15
Sinar Harian
Oktober 17, 2022 15:59 MYT
Oktober 17, 2022 15:59 MYT
SHAH ALAM: Penyandang Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun tidak berhasrat untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum ke- 15 (PRU15).
Beliau dalam temu bual di stesen radio BFM pada Isnin menegaskan, tidak mempunyai apa-apa kepentingan politik.
"Memang sebelum ini saya ada terlibat dalam parti UMNO sebagai pemikir strategi semenjak 1990-an tetapi saya bukan penyokong mereka.
"Begitu juga semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), tentang apa yang saya suara dan tuliskan, meskipun bertepatan dengan pandangan pimpinan Pakatan Harapan (PH) dahulu, saya tidak pernah menjadi penyokong mereka," katanya.
Mengulas mengenai jawatan Speaker disandangnya, Azhar berkata, beliau akan mempertimbangkan jawatan itu sekiranya ditawarkan selepas PRU15 nanti.
"Saya perlu berbincang bersama keluarga terlebih dahulu mengenainya," ujar beliau.
Azhar pada 2020 menyandang jawatan tersebut bagi menggantikan Speaker terdahulu, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof.
Pelantikan tersebut dibuat selepas namanya diusulkan Perdana Menteri pada masa itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.